Ratu Montok Uganda nasihat wanita gempal jangan mudah mengalah

Agensi
April 30, 2019 11:53 MYT
Nasasi Belinda meraikan kejayaannya sebagai Ratu Montok pertama Uganda. - Gambar Twitter/@NewsCentralTV
WANITA bertubuh gempal tidak perlu lagi berasa rendah diri atau beranggapan mereka tidak cantik.
Saiz badan yang besar kini bukan lagi alasan untuk tidak bergelar contoh atau role model.
Ini dibuktikan oleh seorang ahli perniagaan wnaita dari Uganda, Nasasi Belinda yang ditabalkan sebagai 'Ratu Montok' dalam sebuah pertandingan ratu cantik yang dianjurkan di negara itu.
Pengiktirafan itu disifatkan Belinda satu penghormatan buatnya.
"Saya akan menjadi sumber inspirasi. Memiliki saiz tubuh yang besar bukan satu masalah. Teruslah bergembira dengan diri anda dan pastikan anda tidak mudah mengalah. Terus melangkah," kata Belinda yang meraih gelaran 'Ratu Montok itu selepas menewaskan 24 finalis lain.
Pertandingan ratu cantik itu merupakan sebahagian daripada kempen kerajaan untuk menarik kedatangan pelancong ke negara Afrika itu
Bagaimanapaun, kempen berkenaan mencetus kontroversi pada Februari lalu apabila Menteri Pelancongan Uganda, Godfrey Kiwanda mencadangkan, keindahan wanita bersaiz besar negara itu dijadikan sebagai 'komodoti' untuk dipasarkan sebagai produk pelancongan.
Strategi itu, jelas beliau, seiring dengan keindahan alam, bahasa dan makanan negara itu untuk menarik kedatangan pelancong asing.
Kenyataan Kiwanda itu, bagaimanapun, mendapat kritkan daripada aktivis wanita yang menyifatkan menteri berkenaan tidak sensitif dan mendesak agar beliau meletakkan jawatan.
"Ini (kenyataan Kiwanda) sangat menyimpang. Menjadikan wanita sebagai objek seks pada usia dan waktu sebegini tidak masuk akal dan kami mengecam,"kata Rita Aciro, Pengarah Eksekutif Wanita Uganda pada AFP semasa kontroversi itu tercetus.
#Miss Curvy #Nasasi Belinda #Ratu Montok #Uganda
;