Ratu Maori New Zealand yang baharu dimasyhurkan menjelang pemakaman ayahanda

Bernama
September 5, 2024 15:45 MYT
Nga Wai Hono i te Po, 27, merupakan ratu Maori kelapan dan wanita kedua yang memegang gelaran itu. - Reuters
WELLINGTON: Anak bongsu dan anak perempuan tunggal Raja Maori New Zealand dimasyhurkan sebagai Ratu Maori yang baharu pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Raja Maori Tuheitia Pootatau Te Wherowhero mangkat pada 30 Ogos, beberapa hari selepas meraikan ulang tahun ke-18 pertabalan baginda.
Anak perempuan baginda dimasyhurkan sebagai ratu baharu oleh Tekau-maa-rua, majlis Kiingitanga yang terdiri daripada 12 wakil.
Nga Wai Hono i te Po, 27, merupakan ratu Maori kelapan dan wanita kedua yang memegang gelaran itu.
Wanita pertama yang memegang jawatan itu ialah nendanya, Te Arikinui Te Atairangikaahu, yang mangkat pada 2006.
Peranan raja Maori tidak diwarisi secara automatik atau keturunan, namun semuanya adalah keturunan langsung daripada pendahulu mereka.
Ratu baharu itu dimasyhurkan dalam satu upacara dikenali sebagai Te Whakawahinga, ketika puluhan ribu orang berkumpul untuk pemakaman mendiang Raja Tuheitia.
Keranda baginda akan dibawa menyusuri sungai Waikato oleh armada kanu menuju ke tempat persemadian terakhir di Gunung Taupiri.
Kiingitanga (Pergerakan Raja Maori) diasaskan pada 1858 dengan tujuan menyatukan masyarakat Maori di bawah satu pemerintahan. Raja Maori tidak mempunyai kuasa undang-undang, namun memainkan peranan simbolik dan budaya yang penting dalam menyatukan masyarakat serta mempengaruhi hal ehwal negara.
-- BERNAMA
#New Zealand #Ratu Maori #raja Maori #Tuheitia Pootatau Te Wherowhero
;