Ratu Elizabeth, Putera Philip rai ulang tahun perkahwinan ke-73

Agensi
November 20, 2020 15:26 MYT
Foto yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham itu menunujukkan Putera Philip yang kini berusia 99 tahun dan Ratu Elizabeth, 94, tekun membaca kad-kad ucapan yang diterima baginda berdua.
PADA tarikh hari ini pada 1947, pernikahan pasangan diraja England, Ratu Elizabeth dan Putera Philip menjadi tumpuan dunia.
Ini kerana Ratu Elizabeth merupakan pewaris takhta diraja negara yang mempunyai sejarah monarki paling lama di dunia.
Ratu Elizabeth hanya berusia 13 tahun ketika baginda dilaporkan jatuh hati dengan Putera Philip pada Julai, 1939 dan pasangan itu saling mengutus surat.
Pasangan diraja itu kemudiannya mengikat tali pertunangan sekitar 1946 dalam satu majlis rahsia.
Ayahanda Ratu Elizabeth, Raja George VI bertitah pertunangan secara rasmi hanya akan diadakan pada April ,1947 ketika puteri baginda sudah mencecah usia 21 tahun.
Dan tujuh bulan selepas pertunangan secara rasmi diadakan, pasangan diraja yang cukup muda ketika disatukan pula sebagai suami isteri pada tarikh hari ini pada 1947 di Westminster Abbey.
Ratu Elizabeth yang menikahi Putera Philip seorang pegawai tertinggi angkatan tentera laut menaiki takhta England pada 1952 sekali gus mencatat sejarah sebagai pemerintah diraja paling lama dalam sejarah negara itu.
Lebih tujuh dekad melayari bahtera rumah tangga atau lebih tepat selama 73 tahun, baginda berdua menjadi inspirasi kepada sebilangan besar masyarakat dunia.
Lalu, kerana itu, tiada apa yang membahagaiakan pasangan diraja England itu selain daripada menerima ucapan tahniah daripada cicit-cicit baginda.
Pada hari yang berbahagia ini, potret kebahagiaan Ratu Elizabeth dan Putera Philip dirakamkan ketika baginda berdua menghabiskan masa dalam tempoh kawalan kendiri di Windsor Castle membaca kad-kad ucapan kiriman cicit-cicit baginda iaitu George, 7, Charlotte, 5, dan Louis, 2, yang juga anakanda kepada Putera William (cucu sulung pasangan diraja itu).
Foto istimewa sempena hari ulang tahun perkahwinan Ratu Elizabeth, 94, dan Putera Philip, 99, itu dikeluarkan Istana Buckingham itu menunujukkan pasangan diraja itu tekun membaca kad-kad ucapan yang diterima baginda berdua.
Pasangan diraja itu meluangkan masa di istana mereka untuk meraikan ulang tahun perkahwinan secaar tertutup.
Media turut melaporkan, pandemik COVID-19 memberi ruang kepada pasangan Ratu Elizabeth dan Putera Philip untuk menghabiskan masa kualiti berdua-duaan.
Dengan harapan keadaan akan kembali normal tahuh depan, pasangan diraja itu sudah merancang pelbagai acara istimewa untuk diraikan pada 2021 termasuk ulang tahun keputeraan ke-100 Putera Philip pada bulan June selain ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth di takhta pada 2022.
#Ratu Elizabeth #Putera Philip #pasangan diraja #England #Istana Buckingham
;