Ratu Elizabeth II perkenan gantung Parlimen Britain
Sinar Harian
Ogos 29, 2019 09:08 MYT
Ogos 29, 2019 09:08 MYT
Ratu Britain, Elizabeth II pada Rabu memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Boris Johnson untuk menggantung Parlimen bermula minggu kedua September hingga 14 Oktober depan, kira-kira 17 hari sebelum tarikh akhir Brexit.
Baginda membuat keputusan itu ketika sesi Privy Council (badan penasihat raja) di Balmoral walaupun pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn dan Jo Swinson menghantar surat meminta mesyuarat tergempar dengan Ratu Elizabeth untuk memohon baginda menangguhkan langkah itu.
Terdahulu, Johnson yang baru mengambil alih jawatan daripada pendahulunya, Theresa May pada pada bulan lalu membuat kejutan besar apabila beliau meminta Ratu Elizabeth II menggantung Parlimen beberapa hari selepas waktu rehat musim panas berakhir pada pertengahan bulan depan.
Tindakan Johnson itu dijangka mengeruhkan lagi krisis politik di negara itu dan bakal mengancam proses Brexit pada 31 Oktober depan yang mungkin akan dilaksanakan secara tanpa perjanjian dicapai dengan Kesatuan Eropah (EU).
Penentang 'Brexit tanpa perjanjian' telah menuduh Johnson melakukan 'rampasan kuasa' terhadap Parlimen selepas kedua-dua dewan termasuk Dewan Pertuanan akan berdepan penggantungan itu.
"Menggantung Parlimen tidak boleh diterima. Apa yang Perdana Menteri sedang lakukan adalah menghancurkan demokrasi kita untuk memaksa Brexit direalisasikan tanpa perjanjian," kata Corbyn yang memimpin Parti Buruh. - Agensi
#Boris Johnson
#Brexit
#Britain
#British
#Jeremy Corbyn
#Kesatuan Eropah
#krisis politik
#Mesyuarat tergempar
#Parlimen
#pembangkang
#penggantungan parlimen
#Perdana Menteri
#politik
#rampasan kuasa
#Ratu Elizabeth II
#Theresa May