Ratu cantik dimalukan, mahkota dirampas ketika siaran langsung
Astro Awani
April 7, 2021 11:50 MYT
April 7, 2021 11:50 MYT
COLOMBO: Pentas ratu cantik pastinya tidak pernah sunyi dengan 'drama'.
Itu yang berlaku kepada Pertandingan "Mrs Sri Lanka" yang disiarkan secara langsung di televisyen rasmi negara itu pada Ahad.
Pada mulanya, juri memilih Pushpika De Silva sebagai Mrs Sri Lanka 2020.
Namun, hanya beberapa minit diumumkan pemenang dan dipakaikan mahkota, kemenangan Pushpika dibantah Mrs Sri Lanka 2019, Caroline Jurie yang mendakwa kemenangan wanita itu melanggar peraturan pertandingan.
Pushpika dikatakan sudah bercerai, sedangkan syarat pertandingan mewajibkan pesertanya masih berkahwin.
Susulan itu, Caroline mengambil semula mahkota di kepala Pushpika untuk dianugerahkan kepada naib juara.
Hasil siasatan penganjur pula mendapati Pushpika masih belum bercerai, namun tinggal berasingan dengan suaminya.
Penganjur acara mengemukakan permohonan maaf kepada Pushpika dan berjanji akan mengembalikan mahkota yang dimenanginya pada Selasa.
Selain dimalukan, wanita itu juga dilapor mengalami kecederaan di kepala semasa mahkotanya ditarik dengan kasar di atas pentas.
Susulan itu, polis melakukan siasatan ke atas Caroline atas perbuatannya membuat tuduhan terhadap Pushpika.
#Mrs Sri Lanka
#Colombo
#Pushpika De Silva
#Pentas ratu cantik
#Caroline Jurie
#tinggal berasingan
#kecederaan di kepala