Ratu Britain Elizabeth mahu Camilla ditabalkan menjadi Raja Permaisuri

Bernama
Februari 6, 2022 13:20 MYT
Apabila tiba masanya, Camilla (kanan) akan dikenali sebagai Raja Permaisuri dan meneruskan khidmat setianya sendiri, kata Ratu Elizabeth II (kiri). REUTERS
ANKARA: Ratu Britain Elizabeth II berkata pada awal Ahad bahawa baginda berkenan menantunya Camilla, Duchess of Cornwall, menggunakan gelaran Raja Permaisuri apabila anak lelakinya Putera Charles ditabalkan menjadi Raja.
Dalam perutusan sempena ulang tahun menduduki takhta yang ke-70 tahun, Ratu Elizabeth mengucapkan terima kasih kepada rakyat jelata dan kaum kerabatnya atas sokongan yang telah diberikan selama ini, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Dan apabila tiba masanya, anakanda beta Putera Charles ditabalkan menjadi Raja, beta yakin anda akan memberikannya dan isterinya Camilla sokongan yang sama seperti yang telah anda berikan kepada beta; dan adalah menjadi harapan setulus ikhlas, apabila tiba masanya, Camilla akan dikenali sebagai Raja Permaisuri dan beliau akan meneruskan khidmat setianya sendiri," katanya.
Era pemerintahan Ratu Elizabeth II, telah mencecah jubli platinum iaitu 70 tahun bertakhta sekaligus menyaksikannya sebagai pemerintah paling lama berkhidmat dalam sejarah British.
Istana Buckingham awal tahun ini menyiarkan senarai acara perayaan yang dirancang bagi sambutan berkenaan pada musim panas, termasuk konsert, upacara khas, pesta jalanan dan cuti tambahan untuk rakyat jelata.
-- BERNAMA
#Ratu Elizabeth II #Camilla #Raja Permaisuri Britain #Putera Charles
;