Rasuah bekas Presiden Korea Selatan, pewaris Samsung Group dihukum penjara
Astro Awani
Januari 18, 2021 14:28 MYT
Januari 18, 2021 14:28 MYT
SEOUL : Pewaris syarikat gergasi teknologi, Samsung Group (Samsung), Lee Jae-yong dihukum penjara dua tahun dan enam bulan selepas didapati bersalah merasuah bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye pada 2015.
Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Korea Selatan yang bersidang pada Isnin.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi negara itu menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Geun-hye atas kesalahan menerima rasuah, pada minggu lalu.
Jae-yong yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronics sebelum ini dituduh memberi rasuah kepada bekas pemimpin nombor satu Korea Selatan itu bagi mendapat sokongan kerajaan susulan dua penggabungan syarikat Samsung.
Dalam pada itu, peguam Jae-Yong menegaskan, anak guamnya itu menjadi mangsa salah guna kuasa Geun-Hye dan turut menyatakan usahasama dilakukan pada tahun 2015 adalah sebagai aktiviti peniagaan biasa.
Jae-yong pernah dijatuhkan hukuman penjara pada 2017 atas tuduhan rasuah dan kesalahan lain yang menyaksikan Park Geun-hye digulingkan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung kemudian memerintahkan lelaki berusia 52 tahun itu untuk menjalani perbicaraan semula.
#dihukum
#penjara
#Rasuah
#Samsung
#2015
#Korea Selatan
#bekas Presiden Korea Selatan
#Samsung Group
#Park Geun-Hye