Rasmi Litar Mandalika, Jokowi bergaya bak pelumba profesional

Astro Awani
November 13, 2021 15:14 MYT
Jokowi turut tidak ketinggalan mencuba litar tersebut dengan gaya seperti pelumba profesional. - Instagram Jokowi
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merasmikan Litar Mandalika yang terletak di Zon Ekonomi Khas (KEK) Mandalika, Lombok Tengah di Nusa Tenggara Barat, pada Jumaat.
Dengan perasmian itu, Litar Mandalika kini sedia digunakan untuk acara perlumbaan bertaraf dunia.
“Litar Mandalika sepanjang 4.3 kilometer dengan teknologi terkini iaitu stone mastic asphalt (SMA) telah sedia digunakan bagi menyokong penganjuran acara bertaraf dunia iaitu World Superbike 2021 dan akan diteruskan kemudian pada Mac 2022 bersama MotoGP,” katanya pada perasmian..
Beliau berharap Sirkuit Mandalika juga dapat membawa pertumbuhan ekonomi baharu di wilayah itu.
Jokowi turut tidak ketinggalan mencuba litar tersebut dengan gaya seperti pelumba profesional.
Menerusi kemas kini di Instagram, beliau dilihat memakai jaket Rabbit and Wheels dan menunggang motosikal Kawasaki W175.
"Hari ini hujan di Litar Mandalika, saya tetap turun dan mencubanya dengan motosikal saya.
"Rupa-rupanya inilah yang dinamakan litar perlumbaan. Selekoh sangat tajam. Terdapat 17 selekoh. Bagi pelumba, mungkin tiada masalah. Tapi saya?" tulisnya pada kapsyen.
#Joko Widodo #Indonesia #Litar Mandalika #motosikal #MotoGP #ekonomi
;