Rapat Umum Hari Kebangsaan: Lee puji semangat masyarakat Islam Singapura
Astro Awani
Ogos 29, 2021 07:13 MYT
Ogos 29, 2021 07:13 MYT
PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong memuji semangat dan kecekalan masyarakat Islam di negara itu dalam memberi kerjasama penuh mengharungi pandemik COVID-19.
Dalam ucapannya sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021 di Singapura pada Ahad, beliau turut melahirkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, asatizah dan masjid di bawah bimbingan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Lee memuji kepimpinan serta usaha mereka yang terus menggalakkan masyarakat Islam mendapatkan vaksin COVID-19.
Pada masa sama, beliau turut memuji sikap prihatin yang ditunjukkan masyarakat Islam terhadap anggota masyarakat lain.
"Dengan lebih ramai orang disuntik vaksin, kita kini melonggarkan sekatan secara beransur-ansur. Ini termasuk membolehkan lebih ramai jemaah di masjid-masjid.
"Jika anda warga emas, silalah dapatkan suntikan vaksin secepat mungkin!
"Saya gembira melihat masyarakat Melayu/Islam bersatu padu dan saling mengambil berat antara satu sama lain sepanjang pandemik ini," kata Lee.