RansomHub diguna untuk godam lebih 200 syarikat, institusi sejak Februari 2024 – FBI
Amanz
Ogos 30, 2024 13:00 MYT
Ogos 30, 2024 13:00 MYT
PERISIAN tebusan RansomHub telah digunakan oleh pelbagai kumpulan penggodam untuk menyerang lebih 200 syarikat di Amerika Syarikat dan juga di luar negara sehingga kini.
Perkara ini dilaporkan gabungan beberapa badan kerajaan Amerika Syarikat seperti FBI, CISA, Multi-State Information Sharing and Analysis Center (MS-ISAC) dan Department of HeUalth and Human Services (HHS).
Mereka mendakwa perkhidmatan menggodam ini telah mencuri dan mengunci data dari sekurang-kurangnya 210 syarikat dan institusi dari sektor air dan kumbahan, IT, perkhidmatan kerajaan, fasiliti kerajaan dan kesihatan, perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan kewangan dan perbankan dan lain-lain lagi.
Keempat-empat badan kerajaan ini memberi nasihat untuk mengetatkan sekuriti sistem-sistem IT mereka, dan untuk menggunakan teknologi seperti Multi-Factor Authorization dan penggunaan VPN untuk mengakses sistem-sistem yang kritikal untuk kelangsungan syarikat.
Audit sekuriti syarikat juga adalah penting untuk memastikan bahawa para pekerja tidak menjadi titik lemah untuk mereka.
Syarikat-syarikat yang terkesan akibat serangan godaman RansomHub ini juga disarankan untuk tidak membayar sebarang wang tebusan untuk mendapatkan data mereka kembali.
Ini adalah kerana membayar wang tebusan tersebut tidak menjamin bahawa mereka akan mendapat kembali data mereka. -Amanz