Ranil Wickremesinghe angkat sumpah jawatan Presiden Sri Lanka
Agensi
Julai 21, 2022 14:06 MYT
Julai 21, 2022 14:06 MYT
COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe telah mengangkat sumpah sebagai Presiden negara itu pada Khamis (21 Julai), lantas berdepan cabaran untuk memulihkan krisis ekonomi, politik dan perpaduan.
AFP melaporkan, Wickremesinghe, 73, yang dilantik pada Rabu, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Jayantha Jayasuriya di kompleks Parlimen yang dikawal rapi, ujar kenyataan dari pejabatnya.
Ketua Polis Sri Lanka serta pemimpin tertinggi tentera juga menyaksikan upacara tersebut, dengan kehadiran Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana.
Upacara ringkas itu pada awalnya disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan namun telah terhenti sejurus Wickremesinghe hendak mengangkat sumpah.
Pegawai rasmi berkata, satu siasatan akan dijalankan berkaitan kegagalan siaran langsung itu berjalan lancar.
Pemimpin baharu yang tidak begitu popular dalam kalangan rakyat itu dijangka membentuk Kabinet yang tidak lebih daripada 30 menteri, dalam usaha membawa negara itu keluar dari krisis ekonomi terburuk sejak memperoleh kemerdekaan dari Britain.
Sri Lanka kini berdepan masalah bekalan kuasa yang terputus, selain 22 juta rakyatnya yang tidak mempunyai akses kepada bahan api, makanan dan perubatan selama berbulan-bulan.
Kemarahan orang awam terhadap kesulitan itu memuncak apabila puluhan ribu orang penunjuk perasaan menyerbu pekarangan kediaman rasmi bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa, lantas memaksanya meletakkan jawatan.
Wickremesinghe memperoleh 134 undian dalam kalangan 225 anggota Parlimen pada Rabu.