Rangka fosil paus berusia 5,000 tahun ditemui di Bangkok
Agensi
Disember 7, 2020 13:43 MYT
Disember 7, 2020 13:43 MYT
SAMUT SAKHON: Kumpulan penyelidik Thailand telah menemui rangka fosil paus Bryde yang dipercayai berusia sekitar 5,000 tahun di kawasan daratan di barat Bangkok, lapor Reuters.
Rangka sepanjang 12.5 meter itu dijumpai pada awal November lalu oleh seorang penunggang basikal, yang terlihat sebahagian daripada tulang belakangnya terkeluar dari permukaan tanah. Sejak itu kerja-kerja ekskavasi bermula.
"Rangka paus ini dipercayai satu-satunya yang dijumpai di Asia. Sangat jarang untuk menemukan rangka seumpamanya dalam keadaan yang hampir sempurna. Kami sudahpun menemui tulang bahu dan sirip,” ujar pakar geologi di bahagian Perlindungan Fosil, Jabatan Sumber Mineral, Pannipa Saetian.
Tambahnya, kira-kira 36 kepingan tulang belakang telah berjaya dikeluarkan, dan semuanya perlu menjalani proses pemeriksaan karbon untuk menentukan usia sebenar rangka paus itu.
Sejurus proses pembersihan dan pemuliharaan teliti dibuat, ia bakal dipamerkan kepada orang ramai.
Para saintis berharap rangka itu dapat memberikan lebih banyak maklumat dalam usaha penyelidikan populasi paus Bryde yang masih wujud hari ini, sekali gus menjawab persoalan tentang aspek geologi.
Paus Bryde, atau adakalanya dikenali dengan paus tropika kerana ia lebih suka pada kawasan yang lebih hangat, ditemui di sebahagian perairan Lautan Hindi, Pasifik dan Atlantik, termasuk Teluk Siam.