Rangka dinosaur Stegosaurus dilelong pada harga RM207.9 juta

Astro Awani
Julai 18, 2024 01:20 MYT
Dinosaur ini dipercayai hidup di bumi kira-kira 150 juta tahun dahulu pada Zaman Jurasik Akhir. - Foto REUTERS
NEW YORK: Rangka dinosaur Stegosaurus memecah rekod lelongan untuk sebuah fosil apabila ia dijual pada harga AS$44.6 juta (RM207.9 juta), kata firma lelongan Sotheby's pada Rabu.
Firma lelongan itu berkata, rangka, yang diberi nama Apex, setinggi 3.4 meter dan 8 meter panjang itu, merupakan antara rangka dinosaur yang paling lengkap pernah ditemui.
Rangka haiwan itu dijual kepada pembeli yang enggan dikenali.
"Apex dilahirkan di AS dan ia akan kekal di AS," katanya sambil memberi gambaran ia mungkin akan dipamerkan di sebuah institusi negara itu.
Apex ditemui oleh ahli paleontologi pada tahun 2022 di bandar Dinosaur yang terletak di negeri Colorado, AS.
Dinosaur ini dipercayai hidup di bumi kira-kira 150 juta tahun dahulu pada Zaman Jurasik Akhir.
Sebelum ini rekod penjualan rangka dinosaur dicipta pada tahun 2020 dengan lelongan rangka Tyrannosaurus Rex, yang dikenali sebagai Stan, mencecah harga AS$31.8 juta.
#Apex #Rangka dinosaur #lelong #sotheby's