Rangka dinosaur Gorgosaurus akan dilelong buat kali pertama

Sinar Harian
Julai 6, 2022 12:40 MYT
Rangka dinosaur Gorgosaurus dilelong sehingga RM35.39 juta di New York pada 28 Julai ini. - Foto REUTERS
NEW YORK: Rangka dinosaur Gorgosaurus dilelong buat kali pertama dan dijangka memperoleh antara AS$5 juta (RM22.12 juta) dan AS$8 juta (RM35.39 juta), kata firma lelongan, Sotheby's pada Selasa.
Firma lelong itu akan melakukan lelongan rangka setinggi tiga meter dan 6.70 meter itu di New York pada 28 Julai ini.
Rangka haiwan itu ditemui di Montana, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2018 dan Sotheby's menyifatkannya sebagai salah satu dinosaur paling berharga yang pernah muncul di pasaran.
Gorgosaurus hidup di bumi kira-kira 77 juta tahun yang lalu dan haiwan dewasa itu biasanya mempunyai berat kira-kira dua tan.
Pakar paleontologi menyatakan bahawa ia lebih ganas dan lebih pantas daripada dinosaur T-Rex dengan gigitan lebih kuat.
Penjualan itu akan menandakan kali pertama Sotheby's melelong rangka dinosaur penuh sejak ia menjual Sue T-Rex pada tahun 1997 dengan harga AS$8.36 juta (RM36.99 juta).
"Semua spesimen lain Gorgosaurus yang telah ditemui berada di muzium," kata Cassandra Hatton iaitu Ketua Sains dan budaya Popular Sotheby kepada AFP.
"Ini adalah satu-satunya yang sebenarnya boleh anda beli. Jadi, ini adalah detik yang menarik, baik untuk pengumpul persendirian dan institusi," katanya. - Sinar Harian
#dinosaur #Gorgosaurus #Sotheby #lelong
;