Rang undang-undang Bangsamoro diserah pertengahan minggu ini

Astro Awani
Ogos 18, 2014 14:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina Benigno S. Aquino III pada majlis menandatangani perjanjian Bangsamoro pada bulan Mac lalu. - Foto BERNAMA
Draf rang undang-undang Bangsamoro tidak akan diserahkan ke pejabat Presiden Benigno Aquino III pada Isnin sepertimana dijangka, ujar penasihat presiden Teresita Deles dipetik sebagai berkata.
Menurut laporan portal berita GMANews, Deles dalam mesejnya pada pagi Isnin menyebut, rang undang-undang itu sebaliknya mungkin dihantar kepada Presiden menjelang pertengahan minggu ini.
"Bukan hari ini. Perjanjian dalam minggu ini, mungkin pertengahan minggu," ujar Deles.
Draf rang undang-undang Bangsamoro akan dihantar kepada Kongres menjelang hujung Ogos, beliau menambah.
Katanya lagi, rang undang-undang itu masih melalui proses penambahbaikan.
Draf rang undang-undang dasar Bangsamoro yang menggariskan struktur pemerintahan serta bentuk perkongsian kuasa dan kekayaan wilayah selatan Filipina pada awalnya dijadual diserahkan kepada pejabat Presiden Benigno Aquino III hari ini bagi mendapatkan persetujuan Kongres.
Rang undang-undang itu antara lain menggariskan pengasingan bidang kuasa antara kerajaan di wilayah itu dengan kerajaan pusat di Manila.
Dokumen itu akan membuka jalan kepada pembentukan sebuah entiti pemerintah Bangsamoro yang akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao. Kerajaan peralihan itu disasarkan beroperasi sebelum pilihan raya 2016.
Pembentukan entiti politik baru itu bagaimanapun perlu disahkan oleh rakyat di selatan Filipina melalui satu pungutan suara yang dijangka diadakan tahun depan.
Draf rang undang-undang itu dicapai hasil rundingan selama berbulan-bulan antara kerajaan pusat dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Kuala Lumpur dan Manila.
Panel rundingan itu dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat lalu mengatakan kedua-dua pihak setuju menamatkan rundingan dan menyediakan draf akhir kepada Presiden Aquino.
Kerajaan pusat Filipina diwakili oleh Setiausaha Eksekutif Paquito Ochoa Jr. manakala MILF diwakili oleh Mohager Iqbal.
Di bawah perkongsian kekayaan, Bangsamoro akan menikmati 100 peratus hasil bumi bukan metalik termasuk pasir dan kuari serta 75 peratus hasil bumi metalik. Hasil minyak dan uranium pula akan dikongsi sama rata.
Dewan perundangan Bangsamoro pula akan mempunyai sekurang-kurangnya 50 anggota yang akan memilih seorang Ketua Menteri.
Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani perjanjian damai pada Mac lepas. Rundingan damai ini bagaimanapun ditolak oleh Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang merupakan kumpulan serpihan MILF.
BIFF dan kumpulan Abu Sayyaf baru-baru ini mengumumkan ikrar taat setia kepada kumpulan Negara Islam (ISIS) yang kini sedang menguasai sebahagian Iraq dan Syria.
#bangsamoro #dokumen #draf #Filipina #kongres #perkogsian kuasa #Rang Undang-Undang #wiliayah
;