Rampasan pesawat Libya: Perampas menyerah diri, penumpang dibebaskan
Agensi
Disember 23, 2016 19:20 MYT
Disember 23, 2016 19:20 MYT
Kesemua 118 penumpang dan anak kapal pesawat Libya yang dirampas dan mendarat di Malta telah dibebaskan setelah perampas pesawat menyerah diri secara aman kepada pihak berkuasa Libya.
Perdana Menteri Malta Joseph Muscat menerusi Twitter berkata perampas pesawat milik yang dirampas pagi ini telah membebaskan kesemua penumpang yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak.
Sebelum itu media melaporkan sebuah pesawat domestik Libya telah dirampas sebelum berubah haluan dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Malta, lapor media negara itu.
Perampas yang dikatakan bersenjatakan bom tangan mengancam untuk meletupkan pesawat jenis Airbus 320 yang sedang membawa 118 penumpang termasuk tujuh anak kapal itu.
Perampas terbabit dikatakan memaklumkan kepada anak kapal yang mereka adalah dari kumpulan 'pro-Gaddafi' dan akan melepaskan kesemua 111 penumpang, namun tidak tujuh anak kapalnya.
Sehingga kini masih belum jelas apakah tuntutan mereka dan sama ada mereka bertindak sendirian. Bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi meninggal dunia pada 2011 sewaktu berlaku kebangkitan di negara itu. Sejak itu Libya bergelumang dengan situasi ketidakpastian.
Namun dilaporkan mereka menuntut penubuhan parti 'Pro- Gaddafi'.
Selain itu menurut menteri luar Libya Taher Siala, perampas ingin memohon suaka politik.
Turut kelihatan anggota tentera sedang bersiap sedia pada jarak beberapa ratus meter dari pesawat yang mendarat dan tanpa pergerakan keluar masuk.
Enjin pesawat juga tidak dimatikan selepas 45 minit mendarat pada lewat pagi waktu tempatan.
Susulan itu, semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Malta turut dibatal dan diubahkan laluan.
Pesawat milik Afriqiyah Airways terbabit berlepas dari Sebha ke barat daya Libya dan sedang menuju ke Tripoli sebelum dirampas.
Malta terletak kira-kira 500 km ke utara perairan Libya.
Perdana Menteri Malta dalam tweet awalnya berkata “Saya dimaklumkan berlaku situasi rampasan sebuah pesawat Libya yang dialihkan ke Malta, Pihak keselamatan dan operasi sedang bersiap sedia."
Muscat sebelum itu mengesahkan terdapat 111 penumpang, 82 lelaki, 28 wanita dan seorang bayi sedang berada di dalam pesawat itu sewaktu ia dirampas.