Rampasan kuasa Turki: Ugut diekstradisi, Gulen tempelak Erdogan

Agensi
Julai 19, 2016 11:51 MYT
Gulen, pemimpin kerohanian gerakan Hizmet yang mempromosi kesederhanaan Islam di puluhan negara dan dilabel pengganas oleh Erdogan. - Foto AFP
Fethullah Gulen, ilmuwan Islam dan seteru Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menolak cubaan Ankara untuk mengesktradisi beliau dari Amerika Syarikat, dan dengan sinis menyifatkan usaha itu bakal menemui kegagalan.
Gulen, pemimpin kerohanian gerakan Hizmet yang mempromosi kesederhanaan Islam di puluhan negara dan dilabel pengganas oleh Erdogan, dengan tegas turut mengulangi penafian beliau terlibat dalam plot rampasan kuasa Jumaat lalu.
BACA: Siapa Fethullah Gulen, individu yang dituduh menggerakkan kudeta di Turki?
BACA: Lebih 6 ribu ditahan susulan rampasan kuasa di Turki
BACA: Rangkuman liputan rampasan kuasa tentera di Turki
"Secara peribadi, saya tidak bimbang," kata Gulen dalam temuramah dengan beberapa agensi media di kediamannya di Pennsylvania, sejak hidup dalam buangan pada 1999.
"Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang memartabatkan undang-undang," tambah Gulen.
"Undang-undang adalah keutamaan di sini. Saya yakin kerajaan ini tidak akan memberi tumpuan kepada dakwaan-dakwaan yang tidak kedengaran sah dari segi undang-undang,
"Namun saya akui, satu hari nanti saya akan mati, sama ada di katil saya sendiri atau di dalam penjara, saya tidak kisah," kata Gulen, yang berusia 75 tahun.
Erdogan sebelum ini memaklumkan permohonan rasmi untuk ekstradisi Gulen akan dikemukakan dalam masa terdekat.
Setiausaha Negara Amerika, John Kerry bagaimanapun menegaskan Ankara perlu mengemukakan bukti kukuh, dan bukan sekadar dakwaan terhadap Gulen.
Ini bukan kali pertama Ankara cuba mengekstradisi Gulen.
Pada 2013, kerajaan Erdogan pernah mengemukakan permohonan sama berikutan skandal rasuah yang turut menyaksikan peletakan jawatan tiga orang menteri kabinet.
"Permohonan itu tidak sah dari segi undang-undang, Amerika tidak mengambil serius dakwaan itu,
"Apabila permohonan itu gagal, masuk akal dan disertakan dengan permohonan sah dari segi undang-undang, mereka cuba melakukannya sekali lagi, dengan dakwaan rampasan kuasa, umpamanya mereka mengukuhkan lagi cubaan itu," kata Gulen.
Ketika temuramah itu, Gulen yang menghidap kencing manis dan penyakit jantung, kelihatan sangat letih.
Biarpun dia tidak kisah dengan nasibnya sendiri, pemimpin pembangkang ini mengakui bimbang dengan hubungan Amerika dengan Turki yang juga sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO, yang semakin tegang.
Gulen turut mengimbas ketika Perang Korea, tentera Turki dan Amerika bertempur bersama-sama dan kedua-dua negara sudah menjadi sekutu ketenteraan selama berabad lamanya.
"Sekiranya Turki meninggalkan NATO, negara itu bakal berdepan masalah,
"Amerika mungkin boleh menemui sekutu lain, tetapi saya berpendapat, Turki sangat memerlukan kerjasama dengan Amerika melebihi daripada sebaliknya," kata Gullen.
Turki memecat lebih 9,000 pegawai tentera pasca cubaan rampasan kuasa pada Jumaat.
Ia turut mengorbankan hampir 300 rakyat negara itu.
#Fethullah Gulen #rampasa kuasa #Recep Tayyip Erdogan #Turki
;