Rampasan kuasa: Tentera Myanmar isytihar darurat satu tahun
Astro Awani
Februari 1, 2021 14:44 MYT
Februari 1, 2021 14:44 MYT
JUNTA tentera telah menguasai negara itu dan mengisytiharkan darurat selama satu tahun, menurut pengumuman dibuat Pejabat Presiden Myanmar.
Perisytiharan ditandatangani Naib Presiden Pertama U Myint Swe, yang kini Pemangku Presiden, diumumkan di Irrawaddy TV, stesen penyiaran milik tentera.
Menurut kenyataan itu, kuasa negara akan diserahkan kepada Panglima Angkatan Pertahanan Min Aung Hlaing.
Pengisytiharan darurat ini dibuat selepas ketegangan dengan kerajaan awam sejak beberapa hari lalu semakin memuncak ketika sidang Parlimen dijadual bermula hari ini.
Awal pagi ini, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Aung San Suu Kyi ditahan tentera Myanmar.
Penahanan disahkan jurucakap NLD, Myo Nyunt.
Selain Suu Kyi, turut ditahan Presiden Win Myint.
Berdasarkan situasi semasa, NLD beranggapan bahawa tentera kini merancang untuk melakukan rampasan kuasa.
Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas Aung Hlaing mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan perlembagaan Myanmar.
Rampasan kuasa itu, katanya, sekali gus menangani krisis politik yang kian rapuh di Myanmar.
Sejak beberapa minggu lalu, junta tentera menuduh pilihan raya umum November lalu dicemari penipuan undi.
Pilihan raya itu menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi meraih kemenangan besar.
Tentera Myanmar mengatakan pada Sabtu, mereka akan melindungi dan mematuhi perlembagaan dan bertindak menurut undang-undang setelah komen pada awal minggu menimbulkan ketakutan akan rampasan kuasa.
Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar menolak tuduhan penipuan undi oleh tentera dengan mengatakan bahawa tidak ada kesalahan yang cukup besar untuk mempengaruhi kredibiliti undi.
Perlembagaan memperuntukkan 25 peratus kerusi di Parlimen untuk tentera dan kawalan tiga kementerian utama dalam pentadbiran Suu Kyi.
#Aung San Suu Kyi
#Myanmar
#Parlimen
#pilihan raya
#politik
#kerajaan
#presiden
#undang-undang
#tentera
#Junta
#Win Myint
#NLD
#rampasan kuasa
#U Myint Swe
#darurat