Rampasan kuasa: Syarikat antarabangsa digesa henti urusan dengan junta Myanmar
Agensi
Mac 30, 2021 05:57 MYT
Mac 30, 2021 05:57 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meminta syarikat antarabangsa mempertimbang untuk memutuskan hubungan dengan perusahaan yang menyokong tentera junta Myanmar.
Ini susulan tindakan keras tentera kerajaan junta negara itu terhadap penunjuk perasaan antirampasan kuasa sehingga menyebabkan banyak kematian.
Sekurang-kurangnya 512 orang awam terbunuh dalam hampir dua bulan tunjuk perasaan tersebut.
Paling tinggi ialah 141 mangsa maut pada Sabtu lepas.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata kekerasan itu semakin mengganggu dan mengerikan terhadap penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan tentera.
Ini termasuk pembunuhan kanak-kanak berusia 5 tahun.
AS mengecam rampasan kuasa 1 Februari lepas yang menggulingkan kerajaan awam.
Washington mengenakan beberapa sekatan tetapi jeneral tentera Myanmar menolak untuk melakukan sebarang perubahan.
Blinken menyatakan negara dan syarikat lain di seluruh dunia harus melihat untuk menarik pelaburan signifikan dalam perusahaan yang menyokong tentera Myanmar.
Jelasnya, mereka harus melihat pelaburan tersebut dan mempertimbangkannya semula sebagai cara untuk menekan tentera dari segi kewangan yang diperlukannya untuk mengekang kehendak rakyat.
AS minggu lalu mengenakan sekatan kewangan ke atas dua konglomerat milik tentera, yang menghalang syarikat AS dan individu daripada berurusan dengan mereka.
Tetapi beberapa syarikat, termasuk firma dari Jepun dan Korea Selatan, masih mempunyai hubungan perniagaan dengan syarikat milik tentera.