Rampasan kuasa sedang berlaku di Beijing?

Astro Awani
September 25, 2022 13:18 MYT
Dakwaan bahawa Xi Jinping dikenakan perintah tahanan rumah tular di media sosial selepas pergerakan tentera yang tidak pernah berlaku dilihat menuju ke kediaman pemimpin tersebut di ibu kota. -Gambar fail/AP
MEDIA sosial di China kecoh hari ini dengan khabar angin yang mendakwa berlakunya rampasan kuasa di Beijing.
Khabar angin menggemparkan itu muncul kira-kira seminggu selepas dua bekas menteri dihukum atas kesalahan rasuah - disifatkan keputusan paling kontroversi dalam sejarah negara itu.
Beberapa rakaman video tular di Twitter, mendakwa Presiden Xi Jinping kini dikenakan perintah tahanan rumah selepas pergerakan tentera yang tidak pernah berlaku sebelum ini dilihat menuju ke kediaman pemimpin tersebut di ibu kota.
Begitupun, sehingga kini, tiada sebarang pengesahan dibuat.
Meskipun tiada pengesahan rasmi, pengguna media sosial di China terus menyebarkan pelbagai cerita malah mendakwa kudeta sedang berlaku dengan ketua tentera, Jeneral Li Qiaoming bakal dilantik sebagai Presiden baharu.
Seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama akaun Steve Smith turut mengiyakan khabar angin itu.
"Sesuatu yang 'besar' sedang berlaku di China, mungkin rampasan kuasa.
"Ribuan penerbangan telah dibatalkan dan berlaku pergerakan tentera berskala besar," katanya.
The Epoch Times pula - memetik data Flight Master - melaporkan sebanyak 9,583 penerbangan domestik telah dibatalkan pada 21 September lalu, melibatkan 59.66 peratus jumlah jadual pada hari tersebut.
Di sebalik semua khabar angin tersebut, pakar, Aadil Brar memberitahu Xi kemungkinan sedang dikuarantin selepas pulang dari Shanghai Cooperation Organisation (SCO) Summit sekali gus menjelaskan "kehilangannya" pada waktu ini.
Brar turut berkongsi data penerbangan menunjukkan tiada gangguan terhadap aktiviti penerbangan, lapor Outlook India.
Bahkan, dia turut berkongsi visual taklimat awam daripada pegawai tinggi China, menunjukkan kerajaan berfungsi seperti biasa.
Selain itu, media berpangkalan di Hong Kong, South China Morning Post langsung tidak melaporkan sebarang insiden rampasan kuasa di China.
Media itu telah menciap banyak berita membabitkan China dan negara lain sejak 24 jam lepas, namun tiada langsung berkaitan rampasan kuasa di Beijing.
#Beijing #Xi Jinping #rampasan kuasa #Li Qiaoming
;