Rampasan kuasa Myanmar: Joe Biden ancam sekatan baharu
Astro Awani
Februari 1, 2021 06:15 MYT
Februari 1, 2021 06:15 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden mengancam mahu mengenakan sekatan baharu ke atas Myanmar.
Ia susulan tindakan junta tentera negara itu yang menahan pemimpin kerajaan awamnya pada Isnin.
Menurut Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki pada Isnin, kenyataan dibuat Biden merupakan mesej kepada semua negara dalam wilayah itu.
"Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar, penahanan Aung San Suu Kyi dan pegawai awam yang lain, serta pengisytiharan darurat adalah serangan secara langsung terhadap peralihan negara ke arah demokrasi dan kedaulatan undang-undang," kata Biden dalam kenyataannya.
"Dalam demokrasi, kekerasan tidak sepatutnya digunakan untuk menolak kehendak rakyat atau memadam keputusan pilihan raya yang dijalankan secara berwibawa.
"Selama hampir satu dekad, rakyat Myanmar telah terus berusaha untuk mengadakan pilihan raya, pemerintahan sivil dan peralihan kuasa secara aman.
"Ia satu kemajuan yang harus dihormati," tambahnya.
BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Negara anggota ASEAN bincang kenyataan bersama - Kementerian Luar Brunei
Amerika sebelum ini mengeluarkan Myanmar dari senarai sekatan, selepas ia memulakan peralihan demokrasi.
Namun dengan perkembangan semasa, Washington maklumkan tidak teragak-agak untuk kembali melaksanakan sekatan.
#Myanmar
#White House
#Joe Biden
#tentera
#rampasan kuasa
#sekatan
#pencabulan
#peralihan
#demokrasi
#Jen Psaki
#Aung San Suu Kyi
#Washington
#Amerika Syarikat
#pilihan raya
#undang-undang
#presiden
#serangan
#kerajaan