Rampasan kuasa Myanmar: Jepun gesa Suu Kyi dibebaskan

Astro Awani
Februari 1, 2021 06:34 MYT
Warga Myanmar yang tinggal di Jepun mengadakan protes terhadap penahanan Aung San Suu Kyi di United Nations University, Tokyo, Jepun, 1 Feb, 2021. REUTERS
JEPUN menggesa tentera Myanmar membebaskan Aung San Suu Kyi yang dilantik secara demokratik, sekali gus mengembalikan demokrasi di negara itu.
Tokyo turut menentang langkah rampasan kuasa oleh tentera pada Isnin, menyifatkannya satu tindakan terkebelakang.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato berkata, pihaknya bimbang dengan situasi terbaharu di Myanmar dan turut mendesak tentera untuk segera memulihkan sistem politik demokrasinya.
"Kami sangat bimbang dengan pengisytiharan darurat oleh Myanmar dan proses pendemokrasian yang telah merosot.
"Kami akan meminta pembebasan Suu Kyi dan pemimpin-pemimpin lain yang ditahan hari ini," katanya pada Isnin.
BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Wisma Putra suarakan kebimbangan serius
BACA: Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?
BACA: Segera bersuara demi pembebasan pemimpin Myanmar - Anwar Ibrahim
Sejak sekian lama, Jepun menjalin hubungan baik dengan Myanmar, malah ia banyak menawarkan bantuan dan pelaburan di negara itu.
Pelaburan Jepun di Myanmar bernilai ASD768 juta pada 2019/2020.
Selain itu, beberapa firma Jepun terkemuka turut beroperasi di Myanmar.
Tokyo sebelum ini menekan Suu Kyi dalam isu diskriminasi dan keganasan etnik di Myanmar.
Pertubuhan kemanusiaan juga turut meminta Jepun mengambil peranan yang lebih tegas berhubung isu tersebut.
Suu Kyi mengunjungi Jepun pada 2019, selain turut menerima lawatan balas pegawai Jepun ke Myanmar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
#Myanmar #Aung San Suu Kyi #politik #Jepun #keganasan #kabinet #tentera #pelaburan #Tokyo #Katsunobu Kato #darurat #diskriminasi #protes #rampasan kuasa #pembebasan
;