Rampasan kuasa: EU pertimbang tindakan ke atas Myanmar

Astro Awani
Februari 9, 2021 05:59 MYT
Josep Borrell menegaskan EU mahu memberi mesej jelas ia menolak sekeras-kerasnya rampasan kuasa dan kekal menyokong rakyat Myanmar. -REUTERS
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mempertimbang untuk melaksanakan beberapa tindakan ke atas Myanmar, susulan rampasan kuasa junta.
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell menegaskan blok itu mahu memberi mesej jelas ia menolak sekeras-kerasnya rampasan kuasa dan kekal menyokong rakyat Myanmar.
Kenyataan tegas ini dibuat ketika protes anti junta berterusan di beberapa bandar di Myanmar.
EU menurut Borrell mempunyai beberapa kaedah untuk menunjukkan bantahan.
“Kami sedang meneliti pilihan yang ada dan kami mempunyai tiga pilihan untuk digunakan.
"Mempertimbangkan sekatan tambahan bersasar ke atas individu dan perniagaan yang dimiliki junta.
"Kuasa tentera di negara ini adalah satu kuasa ekonomi yang besar, mereka memegang infrastruktur ekonomi yang besar di negara itu.
“Kedua, untuk meneliti bantuan pembangunan dan ketiga, untuk meneliti penggunaan pilihan bagi perjanjian EBA (everything but arms),” katanya.
Beliau berpandangan rampasan kuasa adalah langkah peralihan demokrasi ke belakang.
Junta Myanmar melaksanakan rampasan kuasa atas alasan berlakunya penipuan pilihan raya oleh Presiden dan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi.
#Aung San Suu Kyi #EU #Myanmar #Kesatuan Eropah #Junta #Josep Borrell #protes anti junta
;