Rampasan kuasa di Gabon: Presiden Ali Bongo Ondimba di bawah tahanan rumah

Bernama
Ogos 30, 2023 12:48 MYT
Ali Bongo ditahan bersama keluarga dan doktornya, menurut kenyataan junta yang disiarkan menerusi televisyen tempatan. - Reuters
DOUALA: Presiden Gabon Ali Bongo Ondimba diletakkan "di bawah tahanan rumah," dan junta tentera mengisytiharkan kerajaan telah digulingkan dalam rampasan kuasa pada Rabu.
Ali Bongo ditahan bersama keluarga dan doktornya, menurut kenyataan junta yang disiarkan menerusi televisyen tempatan, lapor Agensi Anadolu.
Kerajaan tentera yang dikenali Jawatankuasa Peralihan dan Pemulihan Institusi (CTRI) merampas kuasa dan mengecam kerajaan gagal dalam melaksankan tadbir urus secara bertanggungjawab dan mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam perpaduan sosial yang berisiko membawa negara ke kancah huru-hara.
Rampasan kuasa itu susulan keputusan rasmi menunjukkan Ali Bongo menang untuk penggal ketiga sebagai presiden dalam pilihan raya negara itu pada Sabtu.
Bagaimanapun, tentera mengumumkan keputusan itu dibatalkan dan kerajaan serta semua institusi dibubarkan.
Gabon ialah negara terbaharu di Afrika yang dilanda rampasan kuasa tentera selepas Niger.
Sementara itu, situasi di Gabon turut akan dibincangkan oleh menteri-menteri pertahanan Kesatuan Eropah (EU) yang berhimpun di Toledo, Sepanyol, pada Rabu.
Ketua dasar luar EU Josep Borrell berkata maklumat tentang perkembangan di negara berkenaan "mengelirukan" dan jika sah berlaku rampasan kuasa tentera keadaan itu akan meningkatkan ketidakstabilan di seluruh rantau Afrika.
-- BERNAMA
#rampasan kuasa #Gabon #Presiden Ali Bongo #tahanan rumah