Rampasan aset S$1 bilion: Singapura kukuhkan pertahanan risiko pengubahan wang haram
Bernama
Ogos 17, 2023 14:30 MYT
Ogos 17, 2023 14:30 MYT
SINGAPURA: Sebagai hab kewangan global, Singapura kekal terdedah kepada risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan (ML/TF) transnasional, menurut Timbalan Pengarah Urusan (Pengawasan Kewangan) Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ho Hern Shin.
Justeru, MAS dan institusi kewangan perlu terus bekerjasama untuk mengukuhkan pertahanan negara terhadap risiko ini, kata Ho dalam satu kenyataan lewat Rabu.
MAS selaku bank pusat, mengeluarkan kenyataan itu susulan rampasan aset kira-kira S$1 bilion (kira-kira RM3.4 bilion) baru-baru ini, termasuk hartanah, kenderaan, barangan mewah, barang kemas dan jongkong emas.
"Kes ini menekankan kewaspadaan dan tindakan pemfailan laporan transaksi (STR) yang mencurigakan dengan segera oleh institusi kewangan kami telah membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang disyaki melakukan aktiviti terlarang," kata Ho.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan pada 15 Ogos, lebih 400 pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah, Komando Operasi Khas dan Jabatan Perisikan Polis melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi di seluruh negara.
Serbuan itu telah membawa kepada penahanan 10 individu, berumur antara 31 dan 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kesalahan pemalsuan dan/atau, pengubahan wang haram, dan penentangan terhadap penahanan yang sah.
SPF menjelaskan bahawa larangan perintah pelupusan dikeluarkan terhadap 94 hartanah dan 50 kenderaan, dengan jumlah anggaran bernilai lebih S$815 juta, termasuk pelbagai perhiasan dan botol minuman keras dan wain.
Polis juga menyita lebih 35 akaun bank berkaitan dengan jumlah anggaran baki melebihi S$110 juta untuk siasatan dan mengelakkan kehilangan hasil yang disyaki berunsurkan jenayah.
Hasil rampasan termasuk wang tunai dalam mata wang asing, berjumlah lebih S$23 juta, lebih 250 beg dan jam tangan mewah, lebih 120 peranti elektronik seperti komputer dan telefon bimbit, lebih 270 barang kemas, dua jongkong emas dan 11 dokumen dengan maklumat pada aset maya.
10 individu yang ditangkap adalah warga Cyprus, Turkiye, China, Kemboja dan Ni-Vanuatu.
Menurut SPF, 12 yang lain membantu siasatan, dan lapan orang lagi sedang diburu polis.
Kesemua suspek dipercayai mempunyai hubungan sesama mereka, katanya.
"Siasatan polis sedang dijalankan. Lebih banyak aset mungkin dirampas, akaun bank dibekukan, atau larangan perintah pelupusan dikeluarkan semasa penyiasatan berlangsung," kata SPF.
-- BERNAMA