Rambut Thatcher perlukan "penjagaan rapi", 118 temu janji setahun

Agensi
Januari 3, 2014 11:08 MYT
Margaret Thatcher - Gambar Fail
Dandanan rambut yang menjadi antara identiti bekas perdana menteri Britain, mendiang Margaret Thatcher memerlukan penjagaan rapi dan kos yang tinggi, menurut satu laporan.
Merujuk kepada catatan diari Thatcher pada tahun 1984, mendiang telah membuat 118 temu janji berkaitan dandanan rambut atau anggaran satu temu janji selang 3 hari.
Kandungan diari tersebut didedahkan oleh Arkib Negara Britain.
Turut menarik perhatian, pada perhimpunan kumpulan negara G-7 pada tahun yang sama, mendiang telah membuat temu janji sebanyak 5 hari berturut-turut.
Diari juga mendedahkan betapa sifat Thatcher yang gemar bekerja dan sukar untuk duduk diam.
Ini terbukti sepanjang percutian musim panas selama 2 minggu di Austria dan Switzerland, Thatcher telah menjadualkan pertemuan dengan Canselor Jerman, Helmut Kohl, Canselor Austria, Fred Sinowatz dan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kurt Waldheim, selain menghadiri makan malam bersama orang kuat industri perbankan dan pembuatan.
Ini diselang-selikan dengan menulis atau mentelaah di perpustakaan.
Hanya sehari diperuntukkan untuk “berenang dan berehat” dicatatkan pada diari itu berbanding 8 temu janji untuk dandanan rambut sepanjang percutian.
Thatcher adalah perdana menteri wanita pertama Britain dimana dia telah memerintah dari 1979 sehingga 1990.
Thacher meninggal dunia pada April tahun lalu pada usia 87 tahun.
#British #London #Margaret Thatcher #Perdana Menteri
;