Rambut dalam bubur - isteri botak kena cukur
Agensi
Oktober 9, 2019 20:22 MYT
Oktober 9, 2019 20:22 MYT
SEORANG suami yang naik baran selepas terjumpa rambut di dalam buburnya bertindak mencukur botak kepala isterinya di sebuah perkampungan di Joypurhat, Utara Bangladesh pada Selasa.
Lelaki bernama Bablu Mondal, 35, ditahan polis Bangladesh dan didakwa dengan sengaja melakukan jenayah dengan niat mencederakan isterinya yang berumur 24 tahun.
Suspek juga bakal menerima hukuman penjara 14 tahun jika disabit kesalahan.
Kes yang diklasifikasi sebagai penderaan yang dikatakan berleluasa terhadap kaum wanita di Bangladesh dikaitkan dengan peningkatan kes penganiyaan terhadap kaum Hawa.
Menurut pertubuhan hak wanita tempatan Aino Salish Kendra, Bangladesh mencatatkan purata 3 kes rogol sehari dalam jangka masa enam bulan pertama tahun ini.
Pertubuhan itu turut mencatatkan 630 kes wanita dirogol antara Januari dan Jun tahun ini.
Tambah laporan itu lagi, 37 wanita menjadi mangsa pembunuhan sementara tujuh wanita lain mengambil tindakan bunuh diri. Selain itu, terdapat 105 kes cubaan merogol.
Pada April lalu, seorang pelajar wanita berumur 19 tahun dibakar hidup-hidup kerana membuat laporan dirinya dirogol oleh guru besar sekolahnya.
Kes itu menerima perhatian meluas apabila siasatan mendedahkan guru besar tersebut mengarah dan merancang jenayah membunuh pelajar tersebut.
#Aino Salish Kendra
#Bablu Mondal
#kaum hawa
#kes penganiyaan kaum wanita
#kes rogol
#polis Bangladesh