Ramai mangsa melecur teruk, hilang anggota badan dalam serangan di sekolah Gaza

Bernama
Ogos 11, 2024 02:50 MYT
Seorang lelaki tidak dapat menahan sebak selepas ahli keluarganya terkorban dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza. - Foto AP
BANDARAYA GAZA: Kebanyakan mangsa yang cedera dalam serangan Israel yang mengenai sebuah sekolah di sini pada awal pagi Sabtu mengalami kecederaan parah, termasuk melecur seluruh badan dan kehilangan anggota badan, kata Pengarah Hospital Al-Ahli Baptist di bandar itu kepada Agensi Anadolu (AA).
"Hari ini adalah antara yang paling mencabar dalam konflik yang sedang berlangsung," kata Dr. Fadel Naeem, sambil menekankan jumlah korban yang tinggi akibat "genosid" di Sekolah Al-Taba'een.
Naeem berkata bilangan kematian dijangka meningkat kerana ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal di bilik pembedahan hospital.
"Setakat ini, 70 mangsa pembunuhan beramai-ramai telah dikenalpasti manakala selebihnya berada dalam keadaan yang sukar dikenalpasti kerana tubuh mereka berkecai," kata beliau.
Naeem juga menyatakan bahawa Hospital Al-Ahli Baptist, satu-satunya kemudahan perubatan yang masih beroperasi di Bandaraya Gaza berdepan isu kekurangan kelengkapan kerana ketiadaan bekalan perubatan asas dan unit darah untuk merawat mangsa yang cedera.
Beliau menegaskan bahawa hospital itu bergelut untuk menguruskan jumlah pesakit yang semakin bertambah akibat kekurangan kakitangan perubatan dan bekalan penting yang diburukkan lagi oleh konflik yang berterusan sejak 7 Oktober lepas
Terdahulu, Pejabat Media Kerajaan di Semenanjung Gaza berkata bahawa tentera Israel "secara langsung menyasarkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal ketika mereka sedang menunaikan solat subuh yang menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah korban."
Serangan itu membunuh lebih 100 warga Palestin dan mencederakan ramai yang lain, menurut sumber rasmi Palestin.
Walaupun terdapat rayuan pada Khamis daripada perantara, termasuk Mesir, AS, dan Qatar untuk menghentikan pertempuran, mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan, Israel tetap meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 39,800 orang telah terbunuh dalam serangan Israel sejak Oktober tahun lepas.
-- BERNAMA
#melecur #serangan sekolah #Israel #Gaza