NEW DELHI: Gelombang haba telah meragut nyawa ramai orang, termasuk lapan pegawai yang bertugas dalam pilihan raya di negeri Bihar di timur India dalam tempoh dua hari lepas apabila suhu yang terus melonjak menyebabkan kesengsaraan di pelbagai tempat di dalam negara.

Sekurang-kurangnya 18 kematian berkaitan suhu panas dilaporkan dari Bihar dalam tempoh 48 jam, menurut laporan media tempatan pada Jumaat.

Pentadbiran Bihar telah menutup semua sekolah sehingga 8 Jun.

Terdapat laporan pada Khamis mengenai kanak-kanak dan guru pengsan di dalam bilik darjah.

Suhu maksimum di beberapa lokasi di Delhi, Haryana dan Uttar Pradesh dilaporkan hampir mencecah 50 darjah Celsius dalam beberapa hari kebelakangan ini manakala puluhan bandar dan pekan mengalami kepanasan melebihi 46 darjah Celsius.

Sekurang-kurangnya lima orang telah meninggal dunia di negeri padang pasir Rajasthan akibat suhu yang panas.

Mahkamah Tinggi Rajasthan pada Khamis berkata gelombang haba itu perlu diisytiharkan sebagai "bencana nasional."

Di Delhi, kekurangan air telah dilaporkan manakala suhu panas yang membara terus menjejaskan kehidupan harian di ibu negara bukan sahaja kepada manusia tetapi unggas dan haiwan.

Mahkamah Agung telah meletakkan periuk berisi air dan bijirin untuk burung dan haiwan kecil di premisnya yang luas di Delhi.

"Burung dan tupai menderita akibat panas. Aturan ini menjelaskan bahawa Mahkamah Agung menjaga manusia serta makhluk lain," kata seorang pegawai kanan mahkamah kepada akhbar Hindustan Times.

Ketika panas yang melampau melanda wilayah barat laut, timur dan tengah, hujan lebat dan banjir telah meragut nyawa dan mengakibatkan ramai orang di wilayah timur laut serta negeri selatan Kerala dipindahkan minggu ini.

Sekurang-kurangnya enam maut dan 200,000 orang terkandas di dalam banjir di beberapa daerah di negeri Assam akibat hujan yang disusuli siklon tropika Remal.

Siklon itu melanda kawasan pesisir Bangladesh dan India pada awal minggu ini.

Di Daerah Aizawl di negeri Mizoram, jumlah kematian akibat tanah runtuh pada Selasa meningkat kepada 28 selepas penemuan satu lagi mayat pada Khamis.

Di negeri jiran Manipur, tiga kematian berkaitan hujan telah dilaporkan dan ribuan telah diselamatkan dari kawasan banjir.

-- BERNAMA