Ramai dikhuatiri terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di sekolah kem pelarian Jabalia

Bernama
November 18, 2023 23:50 MYT
Ramai penduduk awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dikhuatiri terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Sekolah Al-Fakhura yang diuruskan oleh UNRWA di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza. - Gambar fail/REUTERS
GAZA: Ramai penduduk awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dikhuatiri terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Sekolah Al-Fakhura yang diuruskan oleh UNRWA di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza, menurut pihak perubatan.
Sekolah itu telah digunakan sebagai tempat perlindungan bagi beratus-ratus keluarga yang dipindahkan akibat keganasan Israel di Gaza, kata laporan agensi berita Palestin WAFA.
Serangan Israel yang kejam itu mengakibatkan pembunuhan puluhan orang, dengan majoriti daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita, kata WAFA dalam laporannya. Laporan awal oleh Al Jazeera menyatakan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam serangan itu.
Menurut pihak perubatan, puluhan mangsa serangan Israel yang kejam itu telah dihantar ke Hospital Indonesia di utara Gaza, yang beroperasi pada kapasiti maksimum kerana kebanyakan hospital di utara Gaza tidak dapat beroperasi akibat keganasan Israel.
Sebelum ini Sekolah Al-Fakhura juga menjadi sasaran langsung serangan udara Israel pada 4 Nov, di mana sekurang-kurangnya 12 orang awam kehilangan nyawa mereka dan 54 orang lain cedera.
Keganasan Israel di Gaza tidak berhenti sejak permulaan konflik pada 7 Okt. Sekolah, hospital, institusi pendidikan, masjid, serta harta awam dan peribadi berterusan menjadi sasaran serangan bom Israel.
-- BERNAMA
#serangan udara Israel #kem pelarian Jabalia #Semenanjung Gaza #Sekolah Al-Fakhura #Palestin
;