Ramadan kembali, suasana solat sunat tarawih di Mekah meriah
Astro Awani
April 2, 2022 07:30 MYT
April 2, 2022 07:30 MYT
MEKAH: Jutaan umat Islam meraikan hari pertama Ramadan dengan solat tarawih di hadapan kaabah di Masjidil Haram di Mekah pada Sabtu.
Ramai yang mengharapkan Ramadan yang lebih bermakna, selepas pandemik COVID-19 telah menyebabkan 2 bilion umat Islam di seluruh dunia tidak dapat ke Mekah untuk melakukan ibadat.
Sementara itu, umat Islam di seluruh Pakistan mengambil bahagian dalam solat tarawih pada Sabtu selepas melihat anak bulan baharu yang menandakan permulaan bulan suci Ramadan.
Ramadan bermula pada hari yang berbeza di bahagian dunia yang berlainan - biasanya selang sehari atau dua hari.
Majlis ulama yang dilantik bertemu di bandar utara Peshawar bagi acara melihat anak bulan, sebelum mengumumkan bahawa Ahad akan menjadi Ramadan pertama di negara itu.
Manakala di Masjid al-Aqsa di timur Baitulmaqdis, lebih 30,000 orang menghadiri solat Jumaat pada hari sebelum Ramadan.
Pemimpin Israel, Palestin dan Jordan telah mengadakan rundingan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan Israel telah membuat beberapa siri gerak kerja muhibah, semuanya bertujuan untuk meredakan ketegangan menjelang Ramadan.