Ralit dengan telefon, remaja jatuh dalam ruang simpanan 'diselamatkan' timbunan kotak
Agensi
Februari 19, 2022 20:02 MYT
Februari 19, 2022 20:02 MYT
ISTANBUL: Seorang remaja di Turki, Abdullah Mut, 19, sedang membaca mesej di telefonnya apabila dia tiba-tiba terjatuh ke dalam ruang penyimpanan bawah tanah sebuah pusat beli-belah di Istanbul.
Namun, Abdullah bernasib baik kerana walaupun dia jatuh dari ketinggian kira-kira-kira tiga meter, dia tidak mengalami kecederaan kerana 'mendarat' di atas timbunan besar kotak.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian yang berlaku pada 14 Februari lalu itu mula tular di media sosial sejak semalam.
Media tempatan melaporkan, ketika itu, seorang pekerja penghantaran sedang menurunkan barang untuk disimpan di ruang penyimpanan berkenaan.
"Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku. Saya sedang menggunakan telefon ketika itu.
"Saya tidak nampak ada ruangan terbuka di lantai dan saya jatuh. Secara kebetulan, saya mendarat di atas timbunan kotak," katanya seperti dipetik Daily Mail.
Seorang pemilik kedai di pusat beli belah itu berkata Abdullah sangat bertuah kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Dia jatuh atas timbunan kotak. Kalau kotak-kotak itu tidak berada di situ, dia pasti cedera, sekurang-kurangnya patah tangan atau kaki," kata pemilik kedai tersebut.