Rakyat Uzbekistan mula mengundi dalam referendum mengenai pindaan perlembagaan
Bernama
April 30, 2023 17:51 MYT
April 30, 2023 17:51 MYT
TASHKENT: Pengundi di mula mengundi pada Ahad dalam referendum bersejarah mengenai pindaan perlembagaan yang jika diluluskan kelak bakal mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini.
Proses pengundian dijadualkan berakhir pada 8 malam dan keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh 10 hari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat terdapat kira-kira 19.72 juta pengundi berdaftar.
Pengundian juga sedang dijalankan di 55 tempat di luar negara manakala di Uzbekistan melibatkan 10,758 pusat mengundi.
Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas layak untuk mengundi dan hanya perlu menjawab "ya"atau "tidak" untuk soalan "Adakah anda menerima undang-undang perlembagaan mengenai perlembagaan Republik Uzbekistan.
Kira-kira 500 tetamu asing termasuk dari Malaysia serta wartawan asing turut berada di sini untuk menyaksikan proses pungutan suara itu.
Ketua Suruhanjaya daerah Samarkand, Farmon Toshev, berkata referendum itu akan meningkatkan reputasi Uzbekistan di mata dunia.
"Tujuan referendum adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Uzbekistan. Ia menyatukan seluruh negeri," katanya kepada Bernama.
Draf perlembagaan referendum itu menyentuh pelbagai aspek seperti pemerkasaan wanita, hak belia, kesihatan dan pendidikan.
Pihak berkuasa berkaitan turut membantu memudahkan proses pengundian di rumah bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan, warga emas dan orang kurang upaya.
Seorang pelajar undang-undang di Tashkent State University of Law, Sitora Murodjonova, berkata beliau berasa sangat teruja kerana ini kali pertama mengundi.
"Referendum itu amat diperlukan untuk kemajuan negara dan rakyat," katanya.
Lebih 200 pindaan dan penambahan kepada 64 Perkara di dalam perlembagaan negara sedang dicadangkan.
Terdapat perbincangan di seluruh negeri dengan lebih 220,000 cadangan diterima daripada rakyat.
Dalam penyediaan draf perlembagaan, pengalaman daripada 190 negara asing termasuk Malaysia turut dipertimbangkan.
Referendum berpaksikan rakyat itu mengambil kira aspirasi generasi muda memandangkan jumlah penduduk negara dijangka mencecah 50 juta menjelang 2040 dengan lebih separuh daripadanay terdiri golongan belia.
Pungutan suara mengenai pindaan perlembagaan itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang dilaksanakan oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev sejak menjadi Presiden sementara pada September 2016.
-- BERNAMA