Rakyat Thailand sanggup lupakan sambutan Songkran gara-gara COVID-19

Agensi
April 11, 2021 18:30 MYT
Tiada sambutan tahun ini. Kebanyakan rakyat Thai sedia meraikan tradisi Songkran dengan menghabiskan waktu kualiti bersama keluarga masing-masing di rumah. - Gambar fail
BANGKOK: Ramai rakyat Thailand mengambil keputusan untuk tidak meraikan pestra tradisi mereka, kerana khuatir pada trend penularan COVID-19 di negara itu.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, kebanyakan daripada rakyat tempatan merancang untuk melupakan keseronokan pesta air atau festival Songkran pada tahun ini.
Peratusan besar lagi menunjukkan bahawa mereka tidak pasti sama ada mereka mahu meraikannya, memandangkan angka jangkitan koronavirus di Negara Gajah Putih itu semakin meningkat.
Dapatan itu merupakan rumusan daripada tinjauan pendapat yang dijalankan pihak Universiti Suan Dusit Rajabhat.
Tinjauan pendapat itu telah dilakukan secara dalam talian ke atas 1,324 orang dari seluruh negara dari 3 hingga 9 April lalu.
Ia selepas kerajaan mengumumkan bahawa aspek tradisional Songkran boleh diteruskan dengan menerapkan amalan norma baharu bagi menghindari jangkitan COVID-19.
Ditanya sama ada mereka mahu menyertai pesta setempat yang dianjurkan, sebanyak 43.88 peratus menyatakan "Tidak", 33.31 peratus menjawab "Tidak pasti", manakala hanya 22.81 peratus menjawab mereka mahu meneruskannya.
Kemudian, apabila ditanya apa yang mereka akan lakukan untuk mengingati tradisi Songkran semasa tempoh pandemik, dengan setiap responden diberi pilihan lebih daripada satu jawapan, ini keputusan tinjauan pendapat itu:
Sebanyak 64.82 peratus hanya akan menjalankan upacara rod nam dam hua untuk orang tua dalam keluarga; 63.28 peratus mahu habiskan masa bersama keluarga di rumah; 53.66 peratus mahu menderma kepada sami; 52.50 mahu memandikan patung Buddha mereka; dan 37.64 peratus akan mengekalkan tradisi Thai itu.
Berkenaan perbelanjaan individu untuk Songkran pada tahun ini, 55.86 peratus memberitahu tidak lebih 3,000 Baht (RM394); 25.49 peratus membelanjakan 3,001 hingga 5,000 Baht (RM395-660); dan 18.65 peratus menetapkan belanja lebih 5,000 Baht.
Sementara itu, beberapa pihak berkuasa wilayah sudahpun membatalkan penganjuran acara Songkran pada yang sepatutnya disambut pada 13 hingga 15 April ini.
Salah satunya adalah bekas ibu negara Thailand, iaitu Ayutthaya. Gabenornya, Panu Yaemsri, telah mengelurkan arahan supaya semua perancangan untuk menyambut festival itu dibatalkan.
#Songkran #Thailand #rakyat #pandemik #COVID-19 #tradisi #pesta air
;