Rakyat Thailand bantah keputusan mahkamah

Astro Awani
November 14, 2021 05:13 MYT
Ratusan berkumpul di pusat bandar Bangkok, melemparkan patung menyerupai hakim mahkamah di atas unggun api. - Foto AP
BANGKOK: Penunjuk perasaan pro-demokrasi berhimpun pada Ahad untuk membantah keputusan mahkamah Thailand yang menganggap gesaan untuk reformasi institusi diraja yang dilakukan oleh para aktivis tahun lepas, mungkin berbaur hasutan.
Ratusan berkumpul di pusat bandar Bangkok, melemparkan patung menyerupai hakim mahkamah di atas unggun api sebagai protes terhadap sembilan hakim yang membuat keputusan itu.
Polis Thailand melepaskan beberapa das tembakan peluru getah untuk menghalang sekumpulan penunjuk perasaan menghampiri barisan pegawai, tetapi tidak meleraikan perhimpunan itu.
Tiga orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Penunjuk perasaan kemudian berarak ke arah kedutaan Jerman untuk menyerahkan kenyataan bantahan mereka.
Dipercayai raja Thailand, Maha Vajiralongkorn telah ke Jerman baru-baru ini.
Rabu lalu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan tiga aktivis pro-demokrasi, yang menggesa reformasi institusi diraja, cuba menggulingkan sistem pemerintahan negara dengan raja sebagai ketua negara.
Sejak dua tahun lalu, lebih 150 aktivis telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan melanggar undang-undang antifitnah diraja, yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.
#protes #pro-demokrasi #mahkamah #aktivis
;