Rakyat Thailand antara korban kebakaran hotel kasino di Kemboja

Bernama
Disember 29, 2022 04:06 MYT
Kebakaran pada malam Rabu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa manakala berpuluh-puluh lagi cedera. - Gambar/FB Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran Kemboja
BANGKOK: Seorang warga Thailand antara 10 yang terkorban dalam kebakaran di sebuah kompleks kasino di Poipet, Kemboja pada Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari hotel kasino Grand Diamond City di Poipet, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
Seramai 34 lagi warga Thailand antara yang cedera dalam kejadian kebakaran yang tercetus pada 11.30 malam (waktu tempatan).
"Ramai mangsa yang cedera mengalami lecur, patah tulang dan terhidu asap. Mereka sedang dirawat di hospital di wilayah Sa Kaeo di Thailand," katanya dalam satu kenyataan.
Anutin menegaskan bahawa pihak berkuasa Thailand bersedia menghantar pasukan perubatan forensik bagi membantu proses mengenal pasti identiti mangsa.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk menyelaras dan memberi bantuan yang diperlukan kepada semua rakyat Thailand yang terjejas.
Kebakaran pada malam Rabu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa manakala berpuluh-puluh lagi cedera.
Rakaman yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran menunjukkan beberapa orang bertindak terjun dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri manakala beberapa individu yang lain terperangkap di tingkat yang lebih tinggi, lapor Xinhua.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
#kebakaran kasino #Kemboja #Thailand #Poipet
;