Rakyat Rusia semakin tidak percaya Putin, peratusan terendah dalam 13 tahun
Agensi
Januari 22, 2019 08:00 MYT
Januari 22, 2019 08:00 MYT
Kepercayaan orang awam terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin jatuh ke paras terendah dalam tempoh 13 tahun, menurut satu tinjauan yang dijalankan di negara itu.
Reuters melaporkan, perkembangan tersebut ibarat satu tamparan hebat kepada Kremlin yang selama ini berusaha keras untuk meningkatkan imej Putin sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.
Tinjauan berkenaan, daripada Pusat Penyelidikan Pendapat Umum, mendapati kepercayaan terhadap Putin menjunam ke paras 33.4 peratus, yang terendah sejak tahun 2006.
Bagaimanapun, laporan tersebut bukan satu masalah buat Putin yang telah memenangi kemenangan besar dan pembaharuan mandat enam tahun pada Mac tahun lalu.
Begitupun, situasi berkenaan dilihat oleh pesaing politiknya sebagai permulaan kepada hasrat dan kemungkinan untuk berpeluang mengambil alih pentadbiran.
Secara keseluruhan, peratusan penerimaan pentadbiran Putin masih pada paras 60 peratus, berbeza dengan hasil tinjauan kepercayaan terhadapnya.
Namun, peratusan itu juga telah jatuh daripada sekitar 90 peratus sebelum itu, berikutan kemerosotan paras pendapatan isi rumah dan langkah kerajaan yang tidak popular seperti meningkatkan usia persaraan dan kenaikan cukai.
Menjelang pilihan raya presiden tahun lalu, tahap kepercayaan rakyat terhadap Putin adalah sekitar 55.3 peratus. Tiga bulan selepas itu, ia merosot kepada 38.3 peratus dan seterusnya 36.5 peratus pada penghujung tahun.
Meskipun begitu, Putin masih lagi dianggap tokoh yang paling dipercayai berbanding ahli politik lain di Rusia.