Rakyat pesan pizza dari London, Menteri Pertanian Nigeria merungut

Agensi
Mac 31, 2019 20:00 MYT
Ia situasi menjengkelkan, kata Ogbeh. - Twitter/@AuduOgbeh
TABIAT rakyat Nigeria yang menggunakan khidmat penerbangan British Airways untuk menghantar pesanan pizza dari London, England, menggusarkan Menteri Pertanian, Audu Ogbeh.
Kata Ogbeh dalam satu sesi bahas Jawatankuasa Senat Pertanian di Abuja, rakyat menggunakan telefon pintar untuk mengimport pizza dari London.
"Mereka beli pizza dari sana, menerbangkannya dengan British Airways pada waktu pagi dan mengambilnya di lapangan terbang pada waktu petang.
"Ia situasi yang sangat menjengkelkan dan kita perlu melakukan sesuatu," katanya.
Kerajaan Nigeria kini cuba untuk mengekang pengimportan barangan, yang dilaporkan terlalu tinggi dan menjejaskan ekonomi negara.
Pencarian di Internet mendapati penerbangan paling cepat yang menghubungkan dua negara ini memakan masa enam jam.
Pengguna media sosial memberi reaksi yang melucukan berhubung idea memesan pizza dari London yang terletak kira-kira 6,000 kilometer dari Nigeria.
"British Airways, kenapa anda tidak memaklumkan mempunyai perkhidmatan penghantaran pizza ke Nigeria?" tulis seorang pengguna Twitter.
"Tak ada kesalahan pun. Bukankah penerbangan sama digunakan untuk eksport sayuran dari Anambra ke London?" tulis seorang lagi pengguna.
#British Airways #ekonomi #England #kerajaan #London #Nigeria #penerbangan #pizza #rakyat #telefon pintar
;