Rakyat Palestin terpaksa larikan diri lagi selepas Israel beri amaran
Astro Awani
Januari 30, 2024 09:30 MYT
Januari 30, 2024 09:30 MYT
GAZA: Ribuan penduduk Palestin melarikan diri dari rumah mereka di barat Gaza menuju ke tempat yang lebih selamat selepas menerima amaran daripada tentera Israel pada Isnin.
Hanya membawa selimut dan peralatan tempat tidur, mereka melalui serpihan kemusnahan jalan-jalan di Kota Gaza untuk mencari perlindungan dengan kebanyakan mereka berjalan kaki.
Ada juga kalangan mereka yang menggunakan motosikal, kereta untuk mengangkut barang dan ahli keluarga mereka.
Sementara itu, beribu-ribu rakyat Palestin telah bergerak ke arah Rafah berhampiran sempadan Mesir ketika perang semakin memuncak antara Israel dan pejuang Hamas di bandar Khan Younis.
Dasar penindasan dan pencerobohan Israel selama 75 tahun menjadi punca serangan Hamas terhadap Zionis itu pada 7 Oktober lalu.
Sejak itu, Israel telah bertindak balas membunuh lebih 26,000 rakyat Palestin di Gaza dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Ketika ini tiada lagi kawasan selamat di Gaza disebabkan serangan udara dan darat Israel terhadap seluruh wilayah itu.