Rakyat Palestin meninggal dunia selepas 38 tahun dalam penjara Israel
Sinar Harian
April 8, 2024 15:31 MYT
April 8, 2024 15:31 MYT
BAITULMAQDIS: Seorang rakyat Palestin yang menjalani hukuman selama 38 tahun dalam penjara Israel kerana didakwa membunuh seorang askar Israel, meninggal dunia akibat kanser.
Walid Daqqah, 62, meninggal dunia di pusat perubatan Shamir dekat Tel Aviv pada Ahad.
Dia disahkan menghidap kanser sumsum tulang iaitu sejenis penyakit jarang jumpa, pada Disember 2022.
Walid ditangkap pada Mac 1986 dan dipenjarakan kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan sel bersenjata Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin yang dipersalahkan atas penculikan dan pembunuhan seorang askar Israel pada 1984.
Hukuman penjara seumur hidup terhadap Walid dikurangkan kepada 37 tahun, namun dia dikenakan tambahan dua tahun penjara pada 2018 selepas cuba menyeludup telefon bimbit ke dalam sel.
Dia sepatutnya dibebaskan pada Mac 2025. Permintaannya untuk mendapatkan parol perubatan ditolak, menurut Kelab Tahanan Palestin, sebuah persatuan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.
“Sejak 7 Oktober 2023, Walid Daqqah diseksa, dihina, dinafikan lawatan keluarga dan menghadapi pengabaian perubatan lanjut,” kata kumpulan berkenaan.
Tahanan Palestin paling terkenal di Israel adalah bekas pemimpin Fatah, Marwan Barghouti yang dipenjara 20 tahun kerana peranannya dalam serangan anti-Israel pada awal 2000-an.
Penyokongnya berharap dia akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan yang dipersetujui pada November 2023 antara Israel dan Hamas, beberapa minggu selepas serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu apabila 80 tebusan Israel dan 240 tahanan Palestin dibebaskan.
Tiada persetujuan lanjut dicapai walaupun rundingan tidak langsung itu diurus oleh Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir. - Agensi
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian