Rakyat Palestin mangsa dwistandard pencabulan undang-undang antarabangsa
Bernama
Oktober 18, 2018 20:02 MYT
Oktober 18, 2018 20:02 MYT
Rakyat Palestin adalah mangsa dwistandard pencabulan undang-undang antarabangsa, kata Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.
Katanya masyarakat antarabangsa hanya berdiam diri sambil menyaksikan penderitaan yang ditanggung saban hari rakyat Palestin di wilayah diduduki di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, akibat penindasan Israel.
"Amerika Syarikat (AS) yang sepatutnya melindungi undang-undang antarabangsa, hanya melihat sahaja penderitaan rakyat Palestin dan mengunci mulut," katanya pada sidang media selepas perasmian pejabat MyAQSA, di sini hari ini.
Perasmian pejabat itu disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa Dr Ekrima Saeed Sabri.
Walid berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan semasa di Palestin susulan tindakan AS memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis (Jerusalem)
"Rakyat Palestin adalah mangsa dwistandard. Apabila seorang kanak-kanak Palestin membaling batu ke arah pendatang Israel, seluruh dunia akan bersatu namun apabila tentera Israel melancarkan serangan ke atas orang awam, masjid, sekolah dan klinik, masyarakat antarabangsa berdiam diri," katanya.
Walid berkata hanya segelintir pemimpin yang bercakap mengenai jenayah perang yang dilakukan Israel namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara dengan lantang dan jelas berhubung isu tersebut pada Perhimpunan Agung ke-73 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, bulan lepas.
"Ada tiga perenggan dalam ucapan beliau yang menyentuh tentang Palestin yang menunjukkan kepentingan solidariti dan sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin. Kami berterima kasih dan menghargai ucapan belia," katanya, menambah Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang dikenali di peringkat antarabangsa dan masyarakat sentiasa memberi perhatian terhadap kenyataan beliau.
-- BERNAMA