Rakyat Palestin mahu pertahan diri dari penindasan, puak ekstrem - Hamas

Irfan Faruqi
Oktober 7, 2023 18:27 MYT
Khaled berkata, rakyat Palestin berdepan penindasan oleh pentadbiran Israel sayap kanan ekstrem yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa.- Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Operasi yang dilancarkan oleh puak Hamas dan disertai oleh rakyat Palestin pada Sabtu adalah mesej mempertahankan diri dan kedaulatan tanah air.
Pegawai Perhubungan Antarabangsa Hamas, Khaled Qadoumi berkata, rakyat Palestin ketika ini berdepan penindasan oleh pentadbiran Israel sayap kanan (ekstrem) yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa.
"Apa yang berlaku hari ini ialah luahan dan mesej rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka daripada penindasan Israel yang telah berlaku sejak hampir seabad.
"Ketika ini kita berdepan dengan kerajaan ekstremis sayap kanak Israel. Menteri Pertahanan Israel (Yoav Gallant) melancarkan serbuan keatas al-Quds dan menyerang tahanan. Dia bertanggungjawab terhadap semua pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia," katanya dalam temu bual Buletin AWANI Khas, pada Sabtu.
Sementara itu, sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengisytiharkan perang terhadap Palestin, Khaled berkata pihaknya sentiasa dalam era peperangan sejak 1948.
"Kami berperang dengan Israel sejak 1948, sejak mereka menubuhkan entiti haram ini yang telah merampas tanah kami.
LAPOR LANGSUNG PERANG PALESTIN-ISRAEL DI SINI
"Hari ini di (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) mengisytihar perang, mesej bahawa beliau akan melakukan jenayah perang dan pelanggaran terhadap hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah," jelasnya.
Qadoumi turut mempersoalkan komitmen komuniti antarabangsa bagi menghentikan konflik yang berlaku berpunca dari entiti haram israel itu.
"Saya ada persoalan yang besar terhadap komuniti antarabangsa yang cuba mempertahankan entiti haram Israel. Apa yang mereka akan lakukan untuk menghentikan situasi berkecamuk yang berpunca daripada entiti haram Israel demi kestabilan serantau?" soal beliau.
#Hamas #Perang Israel-Palestin #Recep Tayyip Erdogan #Benjamin Netanyahu #Israel
;