'Rakyat Pakistan perlu hidup dengan COVID-19'- Imran Khan
Astro Awani
Jun 2, 2020 13:43 MYT
Jun 2, 2020 13:43 MYT
PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan pada Isnin berkata, ekonomi negara yang semakin merudum membuatkan pemimpin negara itu menarik balik arahan perintah berkurung di Pakistan.
Tindakan itu tetap dilaksanakan meskipun jumlah kes dan kematian meningkat malah Imran mendorong rakyatnya untuk “hidup dengan virus tersebut”.
Pakistan telah menarik balik semua arahan perintah berkurung dalam langkah mengatasi kemelesetan ekonomi.
Negara itu akan dibuka kepada pelancong tapi pawagam, teater dan sekolah kekal ditutup.
Negara Asia Selatan dengan populasi 220 juta orang merekodkan 72,160 kes positif dengan 1,543 kematian yang akhir-akhir ini mencatatkan kematian setinggi 80 orang sehari.
Pakistan mengalami kemerosotan ekonomi terutamanya kekurangan pendapatan dan pengiriman wang sebanyak 30 peratus.
Negara itu tidak mampu mengatasi kerugian ditanggung semasa perintah berkurung berbanding negara lain, kata Imran dalam siaran televisyen.
Beliau berkata 50 juta orang dalam negara itu hidup di bawah paras kemiskinan dan 25 juta menerima gaji harian.
Tambahnya, pemerintah memberi bantuan tunai kepada orang miskin namun tidak mungkin dapat meneruskannya untuk skala besar.
“Keadaan kami tidak membenarkan kami terus memberi wang kepada mereka,” katanya.
Imran turut menasihatkan rakyat Pakistan supaya lebih bertanggungjawab namun menegaskan lebih banyak jangkitan dan kematian tidak dapat dielakkan.
“Virus ini akan terus merebak. Dengan kesal saya harus mengatakannya, akan ada lebih banyak kematian.
“Sekiranya orang berhati-hati, mereka boleh hidup dengan virus itu,” katanya.