Rakyat Mesir keluar mengundi hari ini

Astro Awani
April 20, 2019 16:57 MYT
Rakyat Mesir menunggu giliran untuk mengundi di satu stesen mengundi di Kahirah, Mesir, 20 April, 2019. REUTERS
Rakyat Mesir keluar mengundi pada Sabtu dalam satu pungutan suara yang bertujuan mengukuhkan pemerintahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi supaya kekal berkuasa hingga 2030.
Walaupun berdepan bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia, pungutan suara selama tiga hari itu dijangka meluluskan pindaan Perlembagaan yang bakal melanjutkan penggal pemerintahan al-Sisi.
Pindaan itu juga membenarkan beliau bertanding untuk satu lagi penggal enam tahun, dari empat tahun sebelum ini, mengukuhkan kekuasaannya terhadap sistem kehakiman, selain memberi tentera lebih banyak pengaruh dalam sistem politik Mesir.
Pindaan ini memanjangkan tempoh presiden di pejabat dari empat tahun kepada enam tahun dan membenarkan tempoh maksimum memegang jawatan selama dua penggal.
Tetapi, mereka juga memasukkan artikel khusus untuk al-Sisi yang melanjutkan tempoh semasa beliau selama empat tahun kepada enam tahun, dan membenarkannya bertanding untuk tempoh enam tahun lagi pada 2024 - berpotensi melanjutkan pemerintahannya hingga 2030.
Stesen televisyen milik kerajaan melaporkan al-Sisi telah mengundi di daerah Heliopolis, di sini, dekat istana presiden.
Al Sisi dipilih sebagai presiden pada 2014, dan dipilih semula pada 2018 selepas semua pencabar seriusnya sama ada dipenjarakan atau ditekan supaya menarik diri.
#Abdel Fattah al-Sisi #kerajaan #mengundi #Mesir #politik #presiden #pungutan suara #rakyat #tentera
;