Rakyat Mesir ke jalan raya dua tahun selepas revolusi
AFP
Januari 25, 2013 22:36 MYT
Januari 25, 2013 22:36 MYT
Polis di Iskandariah melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan pada Jumaat yang berhimpun memperingati ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang menyingkirkan bekas Presiden Hosni Mubarak.
Tunjuk perasaan sama berlangsung di seluruh negara.
Kekecohan meletus antara polis dan penunjuk perasaan dua kawasan kejiranan di bandaraya kedua terbesar di Mesir ini.
Pertempuran sama juga berlaku di Suez selepas penunjuk perasaan cuba merempuh masuk ke dalam bangunan kerajaan. Mereka bagaimanapun dapat dihalang oleh polis menggunakan gas pemedih mata.
Penunjuk perasaan turut membaling batu ke arah polis dan membakar tayar di tengah jalan.
Di Kaherah, tentera dan polis dikerah untuk melindungi pejabat Kementerian Penerangan yang menempatkan stesen radio dan televisyen milik kerajaan.
Ribuan rakyat Mesir turun ke jalan raya untuk membantah pentadbiran Presiden Mohamed Morsi yang didakwa gagal mengotakan janji revolusi.
Kebangkitan rakyat Mesir dua tahun lalu menumbangkan kerajaan Hosni dan kemudian mengangkat Ikhwanul Muslimin ke puncak kuasa.