Rakyat marah kerajaan Nigeria gagal selesai kes culik 300 pelajar
Astro Awani
Mei 7, 2014 10:07 MYT
Mei 7, 2014 10:07 MYT
Kegagalan kerajaan Nigeria menyelesaikan kes penculikan 300 pelajar perempuan oleh Boko haram mencetuskan kemarahan rakyat.
Demonstrasi dan siri bantahan kini giat dianjurkan bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan gadis terlibat selepas ketua Boko haram mengancam menjual mangsa culik.
Di Abuja, penduduk Chibok mengadakan protes jalanan bagi meningkatkan tekanan ke atas presiden Goodluck Jonathan supaya mengambil tindakan berkesan menyelamatkan remaja diculik.
Pengerusi komuniti Chibok, Tsambido Hosea Abana merayu kerajaan segera melancarkan misi menyelamat.
Menurut polis, lebih 300 gadis diculik sejak 15 April lalu dari sebuah sekolah di pedalaman Nigeria.
Namun, 53 daripadanya berjaya meloloskan diri.
Presiden Nigeria telah mengumumkan sedia menerima bantuan Amerika Syarikat dalam usaha menyelamatkan mangsa.