Rakyat Maldives tunai tanggungjawab pilih presiden
Bernama
September 30, 2023 21:35 MYT
September 30, 2023 21:35 MYT
COLOMBO: Kira-kira 283,000 pengundi di Maldives pada Sabtu menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih presiden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemilihan presiden itu menyaksikan pertembungan antara calon pro-India dan pro-China.
Maldives secara tradisi semakin jatuh ke dalam sfera pengaruh India walaupun China semakin mencari akses ke kepulauan Lautan Hindi yang strategik itu.
Pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi (0300 GMT) dan ditutup pada 5 petang.
Pemimpin penyandang Ibrahim Solih, 62, bertanding menentang Datuk Bandar Male, Mohamed Muizzu, 45.
Kedua-duanya pemimpin itu gagal memenangi majoriti dalam pusingan pertama pengundian pada 9 Sept.
Muizzu dilihat sebagai sekutu bekas presiden Abdulla Yameen yang disabitkan kesalahan rasuah dan berkempen untuk pinjaman China bagi projek pelancongan dan lain-lain sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Yameen juga memeterai perjanjian untuk menjadi sebahagian daripada projek infrastruktur perdagangan global Jalur dan Laluan (BRI) China.
-- BERNAMA