Rakyat Malaysia tidak resah, masih berasa selamat di Hong Kong
Isabelle Leong
November 16, 2019 07:29 MYT
November 16, 2019 07:29 MYT
PROTES di Hong Kong yang sudah berlanjutan sejak awal bulan Jun dilihat masih tiada penghujungnya.
Pastinya ia menimbulkan rasa gelisah dalam kalangan warga dunia yang mengikuti perkembangan demonstrasi tersebut biar menerusi laman media sosial mahupun di kaca televisyen.
Bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Hong Kong, mereka tidak resah dengan protes yang berlaku.
Sebaliknya, memilih untuk tidak meninggalkan Hong Kong kerana mereka masih berasa selamat di situ.
Antaranya, mahasiswi tahun akhir, Jingyin Chia, yang tidak berasa takut kerana katanya, penunjuk perasaan tidak akan mencederakan orang awam yang bukan merupakan golongan sasaran.
Ujarnya, ramai antara rakannya yang telah pulang ke negara masing-masing termasuk adiknya sendiri.
Walaupun universitinya telah membatalkan kelas buat penggal ini, Jingyin berkata ia tidak menjejaskan pembelajarannya kerana pensyarahnya menawarkan kelas dalam talian.
"Penggal persekolahan ini hanya akan berakhir pada pertengahan bulan Disember kerana pada 7 Disember ini, ia merupakan hari pertama peperiksaan akhir kami.
"Tetapi sejak Isnin lalu, semua kelas telah dibatalkan. Oleh itu, semua kelas akan dijalankan secara dalam talian.
"Untuk peperiksaan pula, ia akan dikendalikan secara dalam talian. Jadi, ia seperti ‘take-home exam' dan kami akan menghantar tugasan kami melalui e-mel," katanya.
Tentunya, protes yang berlanjutan itu tidak menggentarkan Jingyin untuk terus menimba ilmu di bandar itu.
Sentimen yang sama turut dikongsi Loong Chen Ning yang sudah menetap di bandar itu sejak sembilan tahun yang lalu.
Chen Ning, pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti ternama Hong Kong berkata, keadaan di wilayah itu tidak seteruk seperti digambarkan media antarabangsa, yang menimbulkan tanggapan negatif terhadap penunjuk perasaan di sana.
Dia mengakui, banyak stesen Transit Aliran Massa (MTR) yang masih ditutup di Hong Kong, sedikit sebanyak menyukarkan warga kota untuk berulang-alik.
Namun, sistem pengangkutan awam yang lain, seperti bas, masih beroperasi seperti biasa dan efisien.
"Ia bergantung kepada ke mana saya mahu pergi. Kebiasaannya, apabila saya mahu keluar, saya akan menaiki MTR. Sesetengah stesen ditutup, tetapi ia tidak menjejaskan perjalanan saya buat masa ini.
"Sistem pengangkutan di Hong Kong agak baik. Anda boleh memilih kaedah lain seperti bas dan bas mini untuk pergi ke tempat lain.
"Saya rasa MTR bukan satu-satunya pilihan yang ada. Sudah tentu ia lebih cepat untuk sampai ke beberapa tempat jika anda menaiki MTR," ujar Chen Ning.
Sementara itu, pekerja sektor swasta Tan Rui Lin memberitahu, dia merancang terlebih dahulu perjalanannya ke tempat kerja supaya tidak lewat.
Katanya, majikannya mengutamakan keselamatan pekerjanya dan memahami jika ada dalam kalangan pekerja yang lewat disebabkan kesulitan akibat penutupan stesen.
Ditanya sama ada terdapat kesukaran untuk membeli barang keperluan, Rui Lin berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah.
"Saya tidak pernah menghadapi kesukaran membeli keperluan harian. Ramai yang beritahu saya supaya menyimpan stok makanan.
"Rakan Malaysia yang lain, mereka sangat takut. Sekiranya ada apa-apa berlaku, mereka mempunyai stok makanan.
"Tetapi sejujurnya, pasar basah di Hong Kong akan sentiasa buka kerana mereka perlu mencari makan walau apa pun yang berlaku.
"Dan mereka tahu, ada yang bergantung kepada mereka untuk mendapatkan barangan basah, dan mereka selalu berniaga berbanding pusat raya," katanya.
Tidak gentar dengan protes yang baru tercetus di kawasan perumahannya, Rui Lin berkata, ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus menimba pengalaman bekerja selepas menamatkan pengajiannya minggu lalu.
Nyata, rata-rata warga Malaysia tidak berasa takut dengan demonstrasi anti-kerajaan yang berlaku di hab kewangan Asia itu.
Namun, persoalannya masih lagi timbul, bilakah Hong Kong akan kembali aman?
#demonstrasi
#hab ekonomi Asia
#Hong Kong
#pelajar
#pengangkutan awam
#protes
#protes Hong Kong
#rakyat Malaysia
#selamat
#tidak resah
#universiti