Rakyat Malaysia syukur dapat jalani ibadah tarawih di Hagia Sophia

Bernama
April 17, 2022 15:18 MYT
Sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bertuah dapat bersama jemaaah tarawih di Hagia Sophia. - Bernama/ Norhamiza Yasmin & Eussuv al-Fayadh
Selepas 88 tahun berlalu, kini buat pertama kali solat sunat tarawih kembali diadakan di Masjid Hagia Sophia di Istanbul.
Struktur ikonik yang memaparkan lukisan dinding dan karya seni tidak ternilai harganya itu dibina pada tahun 532 dan ditukar kepada muzium pada 1934 sebelum memperoleh kembali status sebagai masjid pada 2020.
Masjid itu dijadual dibuka untuk aktiviti ibadah pada 24 Julai tahun sama.
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 membantutkan usaha pembukaannya sehinggalah Ramadan tahun ini, apabila Hagia Sophia diumumkan dibuka kepada umat Islam untuk menunaikan solat tarawih.
Sejak pengumuman itu, pelajar Malaysia di Turki tidak sabar untuk turut sama melaksanakan ibadah pada Ramadan.
Ahmad Haziq Husaini Muhammad, 23, dari Universiti Istanbul gembira dan bersyukur dengan pengumuman itu, sekali gus mengimbau kembali sejarah di bangunan tersergam indah itu.
"Saya sangat gembira kerana selepas bertahun-tahun, bangunan ikonik bersejarah itu akhirnya dibuka semula sebagai masjid dan menerima kunjungan umat Islam yang ingin menunaikan solat tarawih.
"Hagia Sophia mempunyai sejarah tersendiri dan menjadi simbol keperitan umat Islam pada zaman dahulu dalam membebaskan Constantinople (kini Istanbul) dari Rom," kata Haziq, yang juga Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) ketika dihubungi Bernama.
"Pada pendapat saya, semua umat Islam yang berpeluang berkunjung ke sini, mereka harus merebut peluang dan merasai sendiri suasana Ramadan. Saya jamin perasaannya tidak sama seperti di kampung halaman," kata pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Teologi Islam yang pernah bertarawih di masjid itu baru-baru ini.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Berkongsi pendapat yang sama, Norhamiza Yasmin Mohd Amri, 22, dari Altinbas Universitesi turut teruja untuk ke Hagia Sophia serta mengajak rakan-rakannya untuk solat tarawih bersama.
"Pastinya Ramadan tahun ini menjanjikan pengalaman berbeza.
"Selain itu, masyarakat di seluruh dunia juga datang ke Turki untuk bercuti pada Ramadan," kata Norhamiza Yasmin, yang kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam Perniagaan Antarabangsa.
Beliau merasakan pembukaan Hagia Sophia, yang turut tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO pada 1985, akan membolehkan lebih banyak aura positif dan menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia melawat tempat itu dan melaksanakan solat tarawih.
Menurut mereka pada minggu pertama Hagia Sophia dibuka untuk tarawih, jemaah membanjiri perkarangan masjid dan auranya sangat luar biasa.
Sementara itu, Duta Turki ke Malaysia Merve Kavakci berkata beliau menggalakkan umat Islam di seluruh dunia melawat Istanbul, khususnya untuk merasai peluang menunaikan solat di Hagia Sophia.
"Apa yang boleh saya katakan ia adalah satu pengalaman sukar dilupakan. Untuk peminat sejarah, pencinta seni dan lain-lain, Hagia Sophia menawarkan pengalaman mengembara menakjubkan.
"Hagia Sophia dengan status baharunya, adalah lambang bagaimana artifak budaya dan sejarah boleh dipelihara dengan baik tanpa menghaluskan nilai sejagat umat manusia," katanya.
-- BERNAMA
#Hagia Sophia #tarawih #Ramadan #rakyat Malaysia
;