Rakyat Malaysia hilang sewaktu trekking di Nepal
Bernama
April 9, 2015 17:04 MYT
April 9, 2015 17:04 MYT
Seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang sejak Ahad sewaktu trekking di laluan Pokhara-Mustang di barat Nepal.
Timbalan Ketua Polis Nepal, Pankaj Shrestha berkata Dennis Lee Thian Poh, 47 kali terakhir dilihat pada Ahad di Ghorepani kira-kira 450km di barat laut Kathmandu.
Dua pasukan mencari dan menyelamat dengan dibantu helikopter dan anjing pengesan telah dikerah ke lokasi terakhir Lee, katanya hari ini.
Operasi pencarian sedang dilakukan di laluan Pokhara ke Mustang dengan tumpuan diarahkan di lokasi antara Gandhruk dan Ghorepani, tambah Shrestha.
Lee tiba di Kathmandu pada 29 Mac lalu dan menjelajah bersama kumpulan dari Holiday Tibet Trekking Company.
Lee berjalan berseorangan di hadapan kumpulan penjelajahannya dan tiada di antara ahli kumpulannya sedar akan kehilangannya sehingga mereka tiba di perhentian perkhemahan, menurut SAR Dogs Nepal sebuah syarikat mencari dan menyelamat dalam satu kenyataan di laman webnya.
Operasi SAR terganggu akibat cuaca buruk dengan kabus tebal yang menyukarkan operasi helikopter.
Isteri Lee, Jennifer E Peteras tiba di Kathmandu bagi membantu operasi mencari dan enggan memberikan sebarang kenyataan.
Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Kathmandu mengesahkan kejadian tersebut dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal sejak Isnin.
Pegawai kedutaan, Fadli Adilah berkata sehingga kini Lee masih belum ditemui.
"Kami sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal," katanya kepada Bernama.